VASANTH membuat pergerakan Karate Kata dengan memakai ‘kasut berpaku’ selama 10 minit melakar sejarah diiktiraf dalam MBR. FOTO BERNAMA
Seremban: Aksi luar biasa seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, V Vasanth Abhinandan membuat pergerakan Karate Kata dengan memakai 'kasut berpaku' selama 10 minit melakar sejarah tersendiri apabila namanya diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBR).
Pengiktirafan kepada murid tahun dua itu menerusi kategori 'Pergerakan Karate Kata Terbanyak Di atas Paku oleh Seorang Kanak-kanak' dalam masa 10 minit.
Lebih menarik, idea unik untuk melakukan persembahan karate itu adalah daripada Vasanth Abhinandan sendiri yang mahu menonjolkan kelainan berbanding ahli karate yang lain.
Bapanya, K Vasantha, 41, berkata anak tunggalnya itu mengambil masa setahun untuk berlatih dan membiasakan diri menggunakan kasut yang ditempah khas.
"Anak saya seorang yang sangat aktif, dia mula belajar karate sejak umur tiga tahun dan berjaya peroleh pelbagai kemenangan pada kejohanan karate kanak-kanak dalam dan luar negara.
"Selain mencatat nama di MBR, Vasanth Abhinandan turut mencipta nama dalam Yoga Asia World Record 2025 apabila berjaya berdiri sebelah kaki paling lama bagi kategori kanak-kanak pada Julai lalu," katanya selepas penyerahan sijil penghargaan daripada Pegawai Rasmi MBR Siti Hajar Johor di sini.
‘KASUT berpaku’ yang dipakai Vasanth. FOTO BERNAMA
Vasantha yang bekerja sebagai pemandu van sekolah berkata, anaknya yang kini memiliki tali pinggang biru sedang berusaha untuk menambah lima lagi pergerakan dalam karate bagi melayakkan memperoleh tali pinggang hitam.
Bapa tunggal itu berkata selain mencipta rekod MBR, anaknya pernah menjuarai Karate Kata dalam kejohanan sukan antarabangsa di Kuala Lumpur pada tahun lepas serta menerima Anugerah Pencapaian Sukan Terbaik Bukan Temasya 2024 daripada kerajaan negeri.
"Saya mahu membesarkan anak saya sebagai seorang yang berdikari dan berdisiplin. Karate bukan sekadar sukan, tetapi menjadi benteng untuk pertahankan diri kerana Vasanth Abhinandan pernah melalui pengalaman pahit dibuli dan ilmu seni bela diri inilah yang membantunya mempertahankan diri," katanya.
Dalam pada itu, Vasanth Abhinandan berkata dia bercita-cita untuk menjadi atlet negara dan mewakili Malaysia di pentas dunia pada suatu hari nanti.
"Saya bangga dapat mencipta nama dalam MBR, saya berharap suatu hari nanti saya terpilih sebagai atlet negara yang boleh mengharumkan nama keluarga dan Malaysia," katanya.
|