CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 41|Reply: 0

[Pulau Pinang] Belanjawan 2026: Pulau Pinang nikmati lonjakan projek infrastruktur, sosial

[Copy link]
Post time 10-10-2025 09:00 PM | Show all posts |Read mode
Belanjawan 2026: Pulau Pinang nikmati lonjakan projek infrastruktur, sosial

SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
10 Oktober 2025 08:35pm





Chow Kon Yeow





GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang merakamkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada kerajaan Persekutuan susulan pelbagai projek dan inisiatif penting untuk negeri ini diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, menerusi senarai projek keutamaan negeri yang dibentangkan kepada Anwar pada sesi libat urus 18 Mac lalu di bawah projek strategik Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), hampir separuh daripadanya telah dimasukkan dalam belanjawan kali ini.

Menurutnya, antara projek utama yang bakal memberi manfaat kepada rakyat termasuk pelebaran Lebuhraya PLUS dari Tol Juru ke Tol Sungai Dua bagi mengurangkan kesesakan di laluan utama utara, pembinaan Klinik Kesihatan Kubang Semang serta pembangunan Kompleks Kesihatan Bersepadu di Seberang Perai Tengah.

Selain itu katanya, penambaikan bekalan air iaitu naik taraf lokasi pengambilan air mentah di Titi Kerawang dan Teluk Awak serta pemasangan paip air mentah dari lokasi pengambilan ke Empangan Teluk Bahang.

"Projek lain adalah naik taraf Kompleks Sukan Bertam di Kepala Batas, Seberang Perai Utara serta pembinaan laluan bawah tanah yang menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma, termasuk penambahbaikan di persimpangan Jalan Mount Erskine, Jalan Gottlieb, Jalan Burma dan Jalan Bagan Jermal.

"Kerajaan negeri berharap perincian lanjut berhubung status dan pelaksanaan projek-projek tersebut dapat disegerakan bagi membolehkan persediaan wajar dibuat di peringkat negeri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Kon Yeow, kerajaan Pulau Pinang amat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan berharap pelaksanaan semua projek yang diumumkan dapat dijalankan secara terperinci dan segera demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Dalam pada itu, beliau turut berharap Anwar dapat menyempurnakan pelancaran Pusat Transformasi Bandar (UTC) ke-24 di Seberang Perai seperti yang dijadualkan pada November ini.


"Sebagai negeri pelancongan utama, Pulau Pinang juga menyambut baik pengumuman kerajaan untuk memperkukuh kecekapan pengurusan lapangan terbang negara melalui peruntukan RM2.3 bilion kepada Malaysia Airports Holdings Berhad, yang turut memberi manfaat kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

"Selain itu, negeri ini turut menerima manfaat daripada inisiatif Projek Tebatan Banjir Nasional dengan sebahagian daripada RM2.2 bilion yang diumumkan akan digunakan bagi melaksanakan Projek Tebatan Banjir Sungai Nyiur, Seberang Perai Utara," ujarnya.

Kon Yeow berkata, Pulau Pinang juga bersyukur dengan penubuhan pusat rehabilitasi baharu berkapasiti 250 katil oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta manfaat daripada peruntukan RM65.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan yang membolehkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Juru pada tahun hadapan.

"Konsep sekolah vertikal turut akan diperkenalkan di kawasan berkepadatan tinggi, dengan projek rintis dikenal pasti di Rumah Bakat Madani, SkyWorld Pearlmont, Seberang Perai yang menggabungkan sekolah dan perumahan dalam bangunan sama.


"Kerajaan negeri juga menyambut baik inisiatif Memperkukuh Perkhidmatan Kerajaan Digital menerusi pemerkasaan Unit GovTech Malaysia bagi membangunkan lebih banyak aplikasi digital dan menambah bilangan Kiosk Madani di seluruh negeri," tambahnya.

Selain itu, beliau berkata, pengumuman bahawa UDA Holdings Berhad akan menerajui pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang melalui Projek Taman Wakaf Seetee Aisah Fasa 2 dan 3, serta Taman Sultan Sallehuddin Fasa 1B dan 2B dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta disifatkan selari dengan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa syiar Islam.

"Dalam masa sama, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) turut memperuntukkan RM300 juta bagi projek rumah warga emas mandiri di atas tanah Baitulmal di Kepala Batas, melalui kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

“Semua pengumuman ini menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Pulau Pinang yang seimbang dan inklusif. Kerajaan negeri akan memberi kerjasama penuh bagi memastikan semua projek dapat dilaksanakan mengikut jadual,” katanya.

https://www.sinarharian.com.my/article/751931/khas/belanjawan/belanjawan-2026-pulau-pinang-nikmati-lonjakan-projek-infrastruktur-sosial


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-11-2025 02:00 AM GMT+8 , Processed in 0.054740 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list