Nahas korbankan 15 penuntut UPSI: Kelajuan bas dianggar 114.7km/j, jauh melebihi had - Laporan akhir (Gambar fail) Kemalangan bas di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik), Perak, yang meragut nyawa 15 penuntut UPSI pada Jun tahun lalu - FOTO BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hasil analisis video mendapati bas persiaran yang terbabit kemalangan sehingga meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun tahun lalu, dianggarkan bergerak pada kelajuan kira-kira 114.7 kilometer sejam (km/j).
Kelajuan itu adalah melampaui had kestabilan selamat kenderaan bagi laluan lokasi kejadian di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik), Perak.
Menurut Laporan Akhir Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan oleh Pasukan Petugas Khas bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), laluan di lokasi itu direka bentuk untuk kelajuan kira-kira 70km/j, dengan had laju mengikut peraturan ditetapkan pada 60km/j.
"Hasil analisis menunjukkan bas itu telah bergerak pada kelajuan jauh melebihi kedua-dua kelajuan reka bentuk dan had laju dibenarkan, sekali gus melampaui had kestabilan selamat kenderaan pada laluan berkenaan ketika kejadian," menurut laporan itu.
Rakaman video daripada kenderaan awam yang berada berhampiran lokasi kejadian telah digunakan sebagai satu kaedah bebas untuk menganggarkan kelajuan bas itu ketika insiden.
Laporan itu turut memaklumkan, bas terbabit tidak dilengkapi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), Peranti Mengehad Laju (SLD) mahupun kamera papan pemuka kenderaan, menyebabkan tiada rakaman dalaman kenderaan tersedia.
Laporan itu turut menyatakan penggunaan brek secara agresif pada kelajuan tinggi menyebabkan peningkatan suhu komponen brek secara mendadak, sekali gus mengurangkan keberkesanan brek secara progresif.
Gabungan kegagalan brek dan kelajuan berlebihan itu menyebabkan bas terbabit hilang kestabilan, tergelincir serta terbalik sebelum melanggar penghadang jalan jenis W-beam dan merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
Menurut laporan itu lagi, penembusan penghadang ke dalam kabin bas dikenal pasti sebagai mekanisme utama yang meningkatkan tahap kecederaan dan kematian penumpang.
Bagaimanapun, hasil ujian toksikologi mengesahkan pemandu bas itu tidak berada bawah pengaruh alkohol, dadah atau bahan terlarang ketika kemalangan berlaku.
Hasil siasatan turut mendapati kerja penyelenggaraan bas itu dijalankan oleh bengkel yang tidak tersenarai sebagai bengkel bertauliah, termasuk bagi kerja kritikal membabitkan sistem brek dan hab roda.
"Rekod Pemeriksaan Berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) menunjukkan bas itu lulus pemeriksaan di PUSPAKOM Kota Bharu pada 13 April 2025 dengan kecekapan brek keseluruhan direkodkan pada 59 peratus.
"Namun, ujian statik berkenaan tidak mampu mengesan potensi berlakunya fenomena brake fade dalam keadaan beban dan kelajuan tinggi," menurut laporan itu.
|