Edited by FOTHER-MUCKER at 24-1-2026 02:40 AM
Sindiket curi kabel nekad ambil risiko KUALA LUMPUR: Ahli sindiket yang mendalangi kecurian kabel tren di sekitar Lembah Klang, dikesan nekad melakukan tindakan berisiko tinggi dan bahaya, termasuk terjun dari ketinggian kira-kira lapan meter atau memanjat dengan tali dan tangga semata-mata menceroboh jajaran rel.
Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar & Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (PRASARANA), Idzqandar Abu Bakar, mendedahkan ada ahli sindiket yang nekad terjun daripada lebuh raya ke atas jajaran tren di kawasan sasaran kecurian. Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar & Pembangunan Lestari Kumpulan PRASARANA, Idzqandar Abu Bakar. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
"Kami pernah kepung dua jejambat (di lebuh raya) tetapi suspek tetap terjun di tengah jajaran. Dalam operasi baru-baru ini, kami berjaya menahan tujuh orang. Seorang daripada suspek yang bertongkat itu nekad terjun walaupun berisiko cedera akibat jatuh," katanya.
Beliau memaklumkan, sepanjang tahun lalu, PRASARANA mencatat kerugian mencecah RM6.63 juta akibat kecurian kabel yang berlaku dengan 71 kes direkodkan, meningkat hampir 70 peratus berbanding 41 kes pada 2024.
Sindiket yang didalangi warga tempatan itu turut dikesan aktif pada suku keempat tahun lalu, dipercayai susulan kenaikan mendadak harga tembaga dan logam dalam pasaran sehingga mencecah sekitar RM27 sekilogram berbanding RM16 sebelum ini. "Selain kerugian material, gangguan operasi turut memberi kesan besar kepada perkhidmatan.
"Insiden pada 27 dan 28 Oktober 2025 misalnya, menyebabkan kerugian operasi dianggarkan RM434,000 sehari, termasuk kos penyediaan bas gantian, pengurusan kakitangan tambahan dan kehilangan hasil tambang," katanya.
Idzqandar berkata, dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, sindiket beralih daripada mencuri kabel bumi kepada kabel hidup yang membekalkan kuasa elektrik kepada tren, didorong kenaikan harga tembaga sehingga kira-kira 40 peratus sejak 2023.
"Kabel hidup ini yang membekalkan kuasa untuk operasi kereta api. Mereka sasarkan kabel ini sebab kandungan tembaga yang tinggi," katanya.
Idzqandar berkata, walaupun pelbagai langkah keselamatan dipertingkatkan termasuk pagar, kawat duri, rondaan berkala, pengawal keselamatan serta penggunaan anjing dan dron, ahli sindiket terus menukar taktik dari semasa ke semasa.
Mereka dikatakan memanjat menggunakan tali, turun dari lebuh raya atau memanfaatkan papan iklan dan pokok berhampiran untuk memasuki jajaran.
"Kalau kita jumpa mereka di jajaran rel dengan peralatan lengkap pun, pendakwaan sukar dilakukan jika tidak terlihat mereka memotong kabel. Beban pembuktian terlalu tinggi," katanya.
Bagi penambahbaikan, Idzqandar berkata, PRASARANA juga mengadakan sesi libat urus bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membincangkan isu kecurian kabel dan strategi penguatkuasaan.
"Pelbagai usaha sedang dijalankan bagi mengurangkan risiko, walaupun mustahil menjadikan keseluruhan jajaran sepanjang lebih 116 kilometer kalis kecurian," katanya.
Sementara itu, sumber lain memberitahu BH bahawa reka bentuk jajaran rel seperti MRT juga antara faktor yang memudahkan kecurian kabel oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
BH difahamkan, kabel di landasan MRT lebih mudah disasarkan sindiket kerana terdedah dan tidak dilindungi dalam konduit atau struktur konkrit, berbeza dengan sistem aliran transit ringan (LRT) yang kabelnya tertutup dan sukar diakses.
Selain itu, reka bentuk 'viaduct' pada tiang jajaran MRT turut memudahkan akses. 'Viaduct' adalah struktur berongga di tengah-tengah landasan yang cukup untuk seorang individu berdiri dan bergerak di dalamnya tanpa mudah dikesan dari luar.
Reka bentuk struktur berongga dan kabel yang terdedah ini, digabungkan dengan faktor topografi dan kaedah operasi, menjadikan jajaran MRT mudah disasarkan, sekali gus meningkatkan risiko gangguan operasi dan kecurian kabel yang berulang.
|