
KUCHING: Isu pemilikan dan kawalan minyak dan gas Sarawak perlu dilihat dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan bukan sekadar tafsiran teknikal undang-undang, kata bekas Senator Parlimen Malaysia Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (gambar).
Beliau berkata, walaupun MA63 tidak menyentuh secara khusus soal petroleum, perjanjian tersebut merupakan dokumen asas yang menjamin autonomi serta kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Tegasnya ketiadaan peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai penyerahan hak ekonomi negeri.
“Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang memberikan kawalan penuh minyak dan gas kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) digubal lebih sedekad selepas pembentukan Malaysia tanpa persetujuan penuh Sarawak.
“Dari sudut perlembagaan dan etika, adalah wajar dipersoalkan sama ada akta tersebut boleh mengatasi prinsip autonomi yang termaktub dalam MA63,” katanya kepada Utusan Borneo hari ini.
Jaziri menegaskan tuntutan Sarawak terhadap kawalan sumber minyak dan gas bukan satu tindakan menentang.
Sebaliknya kata beliau ia satu tuntutan keadilan memandangkan negeri ini telah menyumbang secara besar kepada hasil negara namun masih berdepan jurang pembangunan.
Beliau berkata, penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) mencerminkan keazaman Sarawak untuk memainkan peranan sewajarnya dalam pengurusan sumber dan selari dengan semangat MA63.
Menurutnya, penyelesaian melalui dialog dan rundingan adalah jalan terbaik, sambil menegaskan pengiktirafan hak Sarawak tidak akan melemahkan perpaduan negara, sebaliknya mengukuhkan Persekutuan Malaysia.
“Bagi rakyat Sarawak, isu ini bukan sekadar ekonomi, tetapi soal penghormatan, keadilan dan integriti Persekutuan,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, MA63 tidak mengandungi sebarang peruntukan berkaitan pemilikan atau pengawalseliaan sumber minyak dan gas.
Menurut Azalina, MA63 juga tidak menetapkan peranan entiti petroleum seperti PESTONAS atau pengagregat gas tunggal Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (PETROS).
“MA63 merupakan dokumen asas yang menetapkan terma pembentukan Malaysia, termasuk hak dan autonomi Sabah dan Sarawak dalam bidang-bidang tertentu.
“Pengurusan dan pengawalseliaan industri minyak dan gas ditentukan oleh undang-undang persekutuan, khususnya Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144),” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen baru-baru ini.
Sumber : Utusan Borneo
|