|
|
Gambar sekadar hiasan
Seremban: Pekerja kafe mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di tepi jalan di Kuala Pilah, tahun lalu.
Tertuduh, Abu Suffian Hashim, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan rogol ke atas remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan ketika kejadian.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 5.30 petang di tepi jalan laluan masuk Taman Bahagia Delima di Kuala Pilah pada Mei 2025.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memaklumkan bahawa hubungan tertuduh dan mangsa adalah sebagai rakan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon diberikan jaminan dengan jumlah paling minimum.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Mac depan untuk serahan dokumen.
Sumber: Harian Metro |
|