|
|
Kuala Lumpur: Seramai empat pesalah termasuk warga asing melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) menerusi kerja pembersihan awam di ibu negara, pagi tadi, selepas dijatuhkan hukuman oleh mahkamah atas kesalahan berkaitan kebersihan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed, berkata, kesemua pesalah itu dikenakan hukuman denda dan diperintah menjalani khidmat masyarakat selama empat jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
"Berdasarkan perbincangan, semua pesalah bersetuju menamatkan tempoh empat jam itu pada hari ini mengikut peruntukan undang-undang yang menetapkan maksimum empat jam sehari.
"Hari ini, kita ada empat pesalah yang terlibat di Kuala Lumpur terdiri daripada seorang warga tempatan serta masing-masing seorang warga Pakistan, Singapura dan Indonesia," katanya pada sidang media, di sini.
Tambah beliau, bagi memastikan keselamatan pesalah terjamin anggota penguat kuasa akan melakukan pemantauan rapi, termasuk memastikan semua peserta berada dalam keadaan sihat sebelum menjalankan tugas.
Katanya, antara denda yang dikenakan terhadap pesalah ialah aktiviti menyapu kawasan, mengutip daun kering dan mengumpulkan sampah kecil di lokasi ditetapkan.
"Setiap pesalah diberikan kawasan tugas masing-masing bagi memastikan kerja pembersihan berjalan teratur. Selain di ibu negara, pelaksanaan secara serentak turut dijalankan di Pahang, Kedah, Negeri Sembilan dan Johor.
" rogram ini bukan sekadar hukuman, tetapi proses pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat. Pendidikan berkaitan kebersihan sebenarnya sudah bermula di rumah dan sekolah, namun sudah tiba masanya perintah masyarakat digunakan bagi memperkukuh mesej itu," jelasnya.
Sementara itu, seorang pesalah warga tempatan yang bekerja sebagai pemandu e-hailing, mengakui hukuman berkenaan menjadi pengajaran berharga buat dirinya.
Tambah pemuda berusia 20an itu, masyarakat perlu memanfaatkan kemudahan tong sampah yang disediakan untuk membuang pelbagai jenis sampah termasuk plastik kecil, gula-gula dan puntung rokok.
"Setiap kesilapan pasti ada hikmahnya. Apa yang berlaku ini mungkin boleh dijadikan pengajaran supaya orang lain lebih berhati-hati.
" andangan saya mudah sahaja, kalau nak buang sampah atau puntung rokok, buanglah di tempat yang betul. Jangan ambil mudah kerana ia boleh memberi kesan kepada orang lain termasuk orang awam dan kanak-kanak," katanya.
Sumber : Harian Metro |
|