Toman 10 kg tewas di tangan Halif
Zuliaty Zulkiffli[email protected]

ABDUL Halif, yang berjaya memenangi tempat pertama Kategori Memancing Individu Snakehead Master Championship (SMC) 2026. FOTO ihsan NRFA
Alor Setar: "Syukur Alhamdulillah catatan peribadi saya sangat baik malah rezeki di tempat orang membolehkan saya naik podium apabila memenangi tempat pertama bagi kategori individu, " kata Mohamad Abdul Halif Jeffre, 29.
Pemuda dari Dungun, Terengganu itu muncul pemenang tempat pertama Kategori Memancing Individu Snakehead Master Championship (SMC) 2026 di Sungai Kedah, baru-baru ini.
Dia berjaya menjinakkan toman sepanjang 95 sentimeter (sm) dan seberat hampir 10 kilogram dan berterima kasih kepada tekong botnya Muhammad Khairul Ikhwan, yang banyak membantu.
Pertandingan berlangsung di sepanjang Sungai Kedah bermula dari pelantar bersebelahan Muzium Negeri Kedah (MNK), di sini.
Dalam pertandingan yang julung kali dianjurkan di Sungai Kedah, Syanid Razak diumumkan sebagai 'Raja Sungai Kedah' dengan menaikkan dua ekor toman dengan jumlah panjang 166.5 sentimeter (sm).
Aina Mazlan dari Team Bullzen pula diumumkan sebagai 'Ratu Sungai Kedah' dengan menaikkan seekor ikan Toman sepanjang 83.5 sm.
Disiarkan pada: Februari 14, 2026 @ 1:15pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/02/1322740/toman-10-kg-tewas-di-tangan-halif
|