|
|
Suami tertidur depan televisyen, isteri pula menghabiskan masa di bilik.
Tiada lagi perbualan mesra atau gelak tawa. Hanya suasana sunyi mengisi waktu malam, bersama rasa letih dan kecewa yang dipendam masing-masing.
Fenomena itu makin kerap berlaku dalam kalangan pasangan hari ini dan dikenali sebagai ‘perceraian emosi’ di mana suami isteri masih bersama secara fizikal, tetapi terpisah daripada segi perasaan.
Pengarah Husim Motivational and Counseling Consultancy, Hushim Salleh berkata kebanyakan kes yang dikendalikan melibatkan isteri yang tampil membawa suami mendapatkan sesi kaunseling susulan masalah komunikasi rumah tangga yang semakin meruncing.
“Sepanjang hampir 40 tahun saya berkhidmat, ramai pasangan masih tinggal bersama secara fizikal, tetapi secara emosi sudah berpisah.
“Komunikasi dan kasih sayang semakin renggang hingga hubungan jadi hambar,” katanya.
Keadaan itu sering berlaku apabila pasangan memilih kekal bersama demi anak-anak meskipun emosi sudah retak.
Antara puncanya sikap suami yang mempunyai ‘sisi gelap’, berlaku kecurangan atau masalah kepercayaan dalam perkahwinan.
Komunikasi yang hilang
Komunikasi merupakan asas utama keharmonian sesebuah rumah tangga.
Namun, ego yang tidak dikawal sering menjadi tembok penghalang, menyebabkan pasangan gagal menyelesaikan konflik walaupun sudah mendapatkan bantuan kaunseling.
Bagi wanita, tekanan emosi lazimnya terpancar melalui perubahan fizikal, antaranya lingkaran gelap di bawah mata akibat kerap menangis dan kurang rehat.
Jika dibiarkan berpanjangan, emosi yang terpendam ini bukan sahaja menghakis harga diri, malah turut memberi kesan serius terhadap kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental.
“Sebenarnya isu ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Sama ada pasangan berusia 70 tahun mahupun yang baru melangkah ke alam perkahwinan, kerenggangan emosi tetap boleh berlaku. Ia tidak mengenal usia,” katanya.
Selain itu, masalah kewangan juga menjadi punca utama rumah tangga menjadi renggang.
Ada isteri terpaksa memikul banyak tanggungjawab termasuk membayar rumah, kenderaan, dan perbelanjaan anak-anak, terutamanya apabila pendapatan suami lebih rendah.
Keadaan itu menyebabkan isteri keletihan daripada segi mental, emosi dan fizikal, namun tetap memilih berdiam diri demi menjaga imej keluarga di mata orang luar.
Pengaruh media sosial turut menyumbang kepada masalah komunikasi.
Wanita lebih cenderung meluahkan perasaan di platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok, manakala lelaki pula mencari ketenangan dengan aktiviti luar seperti melepak di kedai mamak atau bermain permainan video.
Ketagihan gajet dan permainan digital secara tidak langsung menjadikan komunikasi dalam rumah tangga semakin hambar.
“Ada isteri yang mengadu, bila bercakap dengan suami terasa seperti bercakap dengan dinding, sebab suami sibuk dengan telefon bimbit sampai tengah malam,” katanya.
Beri kesan pada anak
Perceraian emosi bukan sahaja memberi kesan kepada hubungan suami isteri, tetapi turut meninggalkan kesan mendalam kepada anak-anak.
Trauma yang dialami akibat menyaksikan ketegangan dan pergaduhan ibu bapa boleh menjejaskan perkembangan emosi dan psikologi anak, walaupun pada usia yang sangat muda.
“Anak-anak boleh terkesan daripada segi komunikasi, emosi dan kesihatan mental. Isu ini serius dan memerlukan perhatian,” katanya.
Konflik rumah tangga yang tidak diselesaikan boleh memberi impak jangka panjang kepada kesejahteraan keluarga.
Komunikasi yang baik, kasih sayang, kesabaran dan keikhlasan menjadi kunci untuk membina semula keharmonian yang hampir runtuh.
Pasangan disaran mendapatkan khidmat kaunseling lebih awal bagi mengelakkan konflik berpanjangan yang boleh merosakkan hubungan keluarga.
“Rumah tangga yang harmoni memang bergantung pada hati kita sendiri. Jika ada keikhlasan, kesabaran dan komunikasi yang baik, Insya-Allah hubungan masih boleh diselamatkan,” katanya.
Suami turunkan ego
Antara langkah penting untuk memulihkan hubungan ialah memujuk dan menyentuh emosi pasangan.
Perkataan yang lembut, perhatian emosi dan pendekatan secara psikologi mampu membuatkan wanita berasa dihargai dan disayangi.
Penggunaan teknik seperti reverse psychology juga boleh membantu, bergantung kepada personaliti suami sama ada bersifat ekstrovert atau introvert.
“Kalau bergaduh sebenarnya tidak elok untuk dibiar lama-lama. Dalam Islam sendiri menyatakan perselisihan tidak elok berlanjutan lebih daripada tiga hari.
“Kadang-kadang ego jadi penghalang, tetapi suami perlu turunkan ego dengan pujuk isteri, lama-lama hati dia menjadi lembut,” katanya.
Suami sebagai ketua keluarga perlu menjadi pendengar yang baik, mudah memaafkan dan sentiasa menghargai pasangan.
Selain itu, hubungan mesra dan romantik juga perlu dipupuk setiap masa untuk menghangatkan cinta.
Seterusnya, elakkan kehadiran pihak ketiga dalam hubungan kerana perselingkuhan boleh menimbulkan konflik yang berpanjangan.
“Wanita memang tidak boleh terima jika suami mempunyai orang ketiga. Hati mereka cepat terluka dan mudah berkecil hati” katanya.
Sumber– -Muslimah |
|