|
DUA minggu sebelum kemunculan Syawal, akan kedengaran pelbagai lagu Raya Aidilfitri berkumandang dalam semua stesen radio. Bukan sahaja radio berbahasa Melayu, kita juga pernah mendengar ada stesen radio berbahasa Inggeris tidak ketinggalan untuk turut menyiarkan lagu raya. \rIa tidaklah satu kejanggalan. Di stesen radio berbahasa Inggeris terdapat juruhebah atau petugasnya orang Melayu atau sekurang-kurangnya beragama Islam yang sama-sama menjalani ibadat puasa. \r\n\n\n\n\rIni untuk mengambil mood atau menggambarkan suasana menjelang raya. Tambahan pula, Hari Raya Aidilfitri adalah antara perayaan utama negara kita. Semua bangsa dan kaum di negara ini, sudah faham sangat. \r\r\n\n\n\n\nDalam bab lagu raya ini, nampaknya, komposer, pencipta atau penulis lagu sekarang belum ada jawapan lagi bagaimana untuk menghasilkan karya setanding dengan lagu-lagu yang sudah berusia lebih 20 hingga 30 tahun. \rOrang sekarang baik daripada orang muda, remaja atau budak-budak akan tetap memilih dan mengenali lagu Dendang Perantau, Selamat Hari Raya atau Balik Kampung. Bukan tidak ada lagu-lagu raya ciptaan terbaru. Sesetengahnya memang agak sedap didengar, tetapi masih belum mencapai tahap malar segar atau evergreen. \rBaru-baru ini, penulis mendapatkan pandangan daripada bekas Pengarang Rencana Berita Harian, Karim Sulaiman mengenai lagu-lagu raya yang malar segar. Menerusi emel yang dikirimkan oleh Karim, antara lain beliau berpendapat susunan muzik dan bait-bait liriknya sangat dekat dengan pendengar berbanding dengan lagu raya ciptaan terbaru.\rBerikut petikan pandangan Karim mengenai lagu-lagu Hari Raya; \r\n\n\n\n\r“Pada tahun 1980-an, saya pernah menemubual komposer hebat, Kassim Masdor yang pernah menghasilkan lagu bertema Aidilfitri malar segar seperti Bila Takbir Bergema nyanyian Rafeah Buang (lirik juga ditulis oleh Rafeah Buang), Suasana Riang Di Hari Raya - Junainah M Amin (lirik Yusnor Ef), Bersabarlah Sayang - Sanisah Huri (Yusnor Ef) dan Selamat Hari Raya - Fazidah Joned (Jins Shamsuddin). \rLagu ini dihasilkan antara tahun 1972 dan 1973 dan masih relevan dan dapat diterima oleh generasi sekarang serta akan datang. Kata orang lagunya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Rahsianya, kata Kassim, melodi dan liriknya mesti memberi kesan kepada pendengar. \rJika melodinya riang ria, kegembiraan itu dikongsi bersama orang yang mendengarnya. Kalau iramanya bersuram duka, kesedihan itu dapat dihayati pendengarnya. \rMelodinya menggambarkan suasana dan meruntun jiwa. Bukan sekadar irama dan melodi, liriknya turut memainkan peranan penting. Ada penceritaan dalam lagu itu. Liriknya bukan sekadar patah-patah perkataan untuk melengkapkannya menjadi lagu, tetapi ada makna dan peristiwa sama ada tersurat atau tersirat. Paling penting lagu itu mesti mudah menangkap jiwa pendengar. Istilah sekarang catchy. \rHal ini menjadikan lagu raya dulu-dulu dekat dengan jiwa pendengar kerana ada antara penceritaan itu ada kena mengena atau kaitan dengan perjalanan hidup mereka. \rSatu perkara lagi, sebenarnya tidak banyak lagu raya dihasilkan pada zaman 1950-an, 60-an dan 70-an. Pada zaman 50-an antara lagu raya popular adalah Selamat Hari Raya nyanyian Saloma, Manusia Miskin Kaya - Nona Asiah dan Kamsani serta Aidil Fitri – Nona Asiah. Lama selepas itu muncul lagu Suara Takbir dan Dendang Perantau – P Ramlee pada awal 1960-an, disusuli Selamat Hari Raya – Ahmad Jais, dan Selamat Hari Raya – Fazedah Joned serta Musafir Di Aidilfitri, S jibeng pada akhir 1960-an. \rPada awal 1970-an lebih tepat 1972/73, baru dirakamkan lagu seperti Hari Yang Mulia - Sharifah Aini, Bila Takbir Bergema, Suasana Riang Di Hari Raya dan Bersabarlah Sayang. Jarak penciptaan sesuatu lagu itu agak lama tempohnya. Jadi bertahun-tahun orang mendengar lagu itu sehingga ada lagu baru lain. \rPada 1977, baru muncul lagi album raya yang diterima ramai Bergembira Di Hari Raya yang mengandungi lagu Seloka Hari Raya – Uji Rashid dan Hail Amir. Ini disusuli dengan tiga album raya malar segar pada awal 1980-an, iaitu Aidilfitri Bermaaf-maafan -1980 (ada lagu Bingkisan Untuk Perwira nyanyian Khadijah Ibrahim); Pemberian Di Hari Raya, 1981 (ada lagu Suatu Hari Di Hari Raya – M Nasir) dan Album Hari Raya – 1981 (ada lagu Pulang Berhari Raya). Selepas itu, tiada lagu raya yang menyengat kecuali yang dirakamkan oleh Siti Nurhaliza menerusi lagu Sesuci Lebaran.\rAntara sebab lain lagu raya sekarang tidak best kerana tidak ada jiwa keMelayuan sama ada dari segi melodi atau liriknya. Persoalan penting untuk siapa dan tujuan lagu itu dicipta. Logiknya adakah ia untuk semua pendengar tanpa mengira kaum atau agama. Jika untuk orang Melayu dan Islam, perlu difikirkan bentuk lagu yang sesuai bagi tujuan itu.\rContohnya, lagu Sesuci Lebaran oleh Siti Nurhaliza yang dihasilkan pada alaf baru, popular dan diminati kerana melodi dan liriknya kena dengan jiwa pendengar. Ringkasnya lagu raya sekarang kehilangan jiwa untuk berhari raya – sekadar rentak, irama dan melodi berseni kata tema hari raya.”\rKita tidak memperkecilkan bakat pemuzik atau komposer hari ini. Tapi jelas, kalaupun mereka berjaya dengan lagu-lagu pop semasa, tetapi menghasilkan lagu raya adalah sesuatu yang cukup mencabar. \rPemuzik sekarang menghasilkan lagu raya suka sangat mengikut kata hati, kononnya untuk memenuhi cita rasa orang muda yang akhirnya jadi entah apa-apa. Lagu-lagu raya yang bertemakan Aidilfitri mempunyai nilai budaya, agama dan peradaban yang tinggi. Inilah yang mungkin masih gagal difahami oleh komposer muda hari ini. - [email protected]
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|