CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3215|Reply: 7

Cerpen: KELABU

[Copy link]
Post time 24-7-2012 03:26 PM | Show all posts |Read mode
Last edited by sama on 24-7-2012 03:43 PM \n\n


Last edited by sama on 24-7-2012 03:41 PM \n\n Last edited by sama on 24-7-2012 03:29 PM \n\n
KELABU

Tiada siapa yang hitam atau putih di dunia ini. Kita semua adalah kelabu.

Komuter bergerak perlahan meninggalkan stesen Subang Jaya. Jam baru menghampiri pukul 5 petang yang menunjukkan kakitangan pejabat masih berada di pejabat dan belum lagi berasak-asak untuk pulang menaiki keretapi. Walau bagaimanapun, semua tempat duduk telah pun penuh di dalam gerabak yang aku berada menyebabkan ada penumpang yang terpaksa berdiri. Nasib baik masih ada lagi tempat duduk kosong semasa aku menaikinya tadi di stesen Shah Alam. Malah aku dapat memilih tempat duduk di sebelah tingkap dan di bahagian belakang sekali untuk aku tinjau pemandangan di sepanjang perjalanan dan gelagat penumpang-penumpang lain di dalam gerabak.

Setelah mendepositkan wang hasil jualan di dalam bank, aku meninggalkan butik pakaian aku sedikit awal pada hari ini kerana ingin bertemu sahabat baikku Dahlia di Kuala Lumpur. Memikirkan Lebuhraya Persekutuan yang selalunya sibuk pada hari bekerja, aku memilih untuk menaiki kenderaan awam dari Shah Alam untuk ke Kuala Lumpur dimana Dahlia akan menjemputku di sana setelah habis bekerja.

Di hadapan tempat duduk aku kelihatan sekumpulan remaja lelaki dan perempuan yang rancak bergurau senda di antara mereka. Empat daripadanya duduk di kerusi sementara tiga yang lain berdiri disisi kerusi rakan-rakannya. Berdasarkan pakaian mereka, aku meneka mereka baru sahaja selesai daripada aktiviti kokurikulum di sekolah. Isi perbualan mereka juga turut berkisar apa yang berlaku semasa di sekolah dan nama Cikgu Singh selalu memburaikan gelak ketawa mereka. Pasti ada yang kelakar mengenai Cikgu Singh yang mereka persendakan.

Berdasarkan rupa fizikal mereka, hati aku turut meneka yang mereka mungkin daripada sekolah menengah kebangsaan biasa yang menggabungkan pelbagai bangsa. Hati aku seolah terharu melihat kegembiraan mereka yang tidak prejudis terhadap perbezaan warna kulit di antara satu sama lain. Mungkinkah umur mereka masih mentah dan naif untuk memahami realiti dunia yang selalu berkisar pada perbezaan. Dunia selalu berteriak mengenai persamaan, namun hakikatnya perbezaan tetap menjarakkan kita. Perbezaan bangsa, keturunan, agama, pangkat, taraf ekonomi, politik,sosial malah perbezaan pendapat dan fahaman sentiasa berlegar dalam kehidupan sehari-hari.

Mungkin perbezaan memudahkan manusia untuk membuat keputusan dan cara hirarki kehidupan boleh berfungsi namun perbezaan juga yang melingkari manusia dengan ketidaktenteraman.  Perbezaan meracuni  manusia dengan prasangka dan iri hati di antara satu sama lain.  Bukankah lebih mudah sekiranya kita seperti anak-anak remaja ini yang lebih cenderung untuk mencari persamaan di antara mereka berbanding perbezaan. Semoga dunia sebenar yang akan kumpulan remaja ini hadapi kelak tidak akan melunturkan ciri-ciri persamaan yang mereka raikan kini.

Ada seorang di barisan hadapan kerusi yang menghadap barisan kerusi aku berjaya menangkap perhatian lekaku. Seorang lelaki  tinggi, berbadan tegap dan berkulit cerah sedang asyik mendengar lagu menerusi corong earphone ipod. Pastinya lelaki berdarah kacukan getus hati kecilku berdasarkan fizikal wajahnya yang iras ‘Zain Saidin’.

Namun baru aku perasan bukan aku sahaja yang tertarik melihat ‘Zain’. Di sebelah barisan kerusi Zain terdapat dua orang remaja lelaki yang aku kira berusia awal 20an turut mencuri-curi pandang ke arah Zain. Memandangkan aku mempunyai banyak masa senggang untuk dihabiskan sebelum keretapi ini tiba di stesen KL Sentral, mindaku mula menganalisis remaja lelaki itu pula. Kedua-duanya juga berperwatakan menarik dengan fesyen pakaian menyerupai artis Korea, malah wajah mereka juga boleh dibayangkan seperti pelakon ‘Boys Over Flower’- ‘Jun Pyo’ dan ‘Ji Hu’. Sekali pandang pasti wanita lain juga akan tertarik apabila melihat mereka sekiranya mereka dapat mengabaikan gerak badan dan ketawa mereka yangmengalahkan wanita. Sekali sekala mereka akan menjeling ke arah Zain dan senyum sama sendiri sambil berbisik-bisik. Untung betul Zain, bukan sahaja wanita tetapi lelaki juga pastinya sanggup berbuat apa sahaja untuk merapatinya.

“Woiiiii, duduk senyap-senyap la!” tiba-tiba kedengaran suara yang berbunyi keras dan tegas menerkah.

Seorang lelaki melayu berusia awal 30an yang duduk di hadapan ‘Jun Pyo’ dan ‘Ji Hu’ mengherdik mereka setelah lama memerhatikan mereka ketawa terkekek-kekek sesama sendiri. Serta merta wajah Jun Pyo dan Ji Hu menjadi kemerahan dan terdiam lalu mengalih perhatian ke arah tingkap keretapi. Tekaan aku, pastinya lelaki melayutersebut sedang menjeling tajam dengan wajah bengis ke arah mereka. Namun yang pasti, penumpang-penumpang lain yang terkejut turut melihat ke arah mereka. Ada yang bersimpati namun ada juga yang tersenyum seolah-olah puas. Pastinya lelaki tersebut diangkat sebagai ‘hero semasa’ kerana membantu mereka menyampaikan ketidakpuashatian yang terbuku di hati mereka.

Pastinya ‘hero semasa’ itu bertindak di atas label yang sentiasa menghantui kelompok seperti Jun Pyo dan Ji Hu. Manusia mudah meletakkan label pada sesuatu kelompok berdasarkan apa-apa kesalahan atau kebaikan yang dilakukan oleh oleh sesetengah individu dalam kelompok tersebut. Label mungkin memudahkan cara pendekatan kita terhadap sesuatu kelompok secara umum tapi bukanlah untuk penilaian secara kolektif. Bukankah manusia itu kompleks dan berbeza pendedahan dan pengalaman yang dihadapi. Jadi kesalahan  sesuatu individu terutamanya tidak wajar untuk dilabelkan terus kepada sesuatu kelompok.

“STESEN SETIAJAYA!”

Suara pemandu keretapi berkumandang melalui corong pembesar suara. Cuma dua orang sahaja daripada gerabak aku yang keluar tetapi berpusu-pusu orang daripada stesen ini yang ingin memasuki gerabak. Semakin ramai orang yang terpaksa berdiri di di antara barisan kerusi. Di celahan gerombolan penumpang baru itu dapat aku terka seorang wanita berbangsa india yang berumur lingkungan 60an sedang memimpin kanak-kanak yang aku kira berusia di antara 6-8 tahun. Di tangannya juga kelihatan sedang menjinjit beberapa buah beg plastik yang kelihatan berat muatannya sementara di celah ketiaknya ada sekaki payung yang sedang dikepit.

Aku amat berharap ada penumpang yang duduk di hadapan sana sanggup menawarkan tempat duduk untuk mereka. Aku melihat kumpulan remaja sekolah tadi masih lagi rancak bergurau senda seolah-olah mereka berada di rumah sendiri. Zain pula semakin rancak menganggukkan kepala sambil mendengar lagu seakan-akan hanya dia seorang sahaja peminat muzik yang abadi. Jun Pyo dan Ji Hu masih terpaku tidak bergerak menghadap tingkap. Namun yang paling aku geram adalah ‘Hero Semasa’ yang secara serta merta terlelap dan menyandarkan kepalanya pada tingkap.

Memandangkan masih tiada siapa yang sanggup menawarkan tempat duduk kepada wanita tuatersebut setelah keretapi mula bergerak, aku bingkas bangun dan memanggil wanita tersebut untuk duduk di kerusiku. Walau bagaimanapun, tiba-tiba Jun Pyo bangun dan menawarkan kerusinya pada wanita tersebut. Ji Hu juga turut bangun dan menyuruh kanak-kanak yang dipimpinnya untuk duduk bersama. Hati aku berasa lega kerana wanita tersebut tidak perlu bersesak-sesak ke belakang di celah penumpang lain yang berdiri dengan barang-barangnya yang sarat untuk mengambil alih tempat dudukku. Aku melemparkan senyuman pada Jun Pyo dan Ji Hu yang sedang berdiri sambil menjeling sinis kepada Hero Semasa yang masih berpura-pura tidur!

...BERRSAMBUNG!

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-7-2012 03:42 PM | Show all posts
Wow...menarik!

Next please.....
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-7-2012 03:46 PM | Show all posts
Last edited by sama on 24-7-2012 03:50 PM \n\nKomuter yang aku naiki tiba di KL Sentral pada pukul 5.45 petang. Aku segera mengirim SMS pada Dahlia bagi menyatakan ketibaanku. Dahlia yang telah keluar daripada  pejabat meminta aku menunggunya di lobi pelepasan KL Sentral. Sambil memerhatikan gelagat manusia di sekelilingku, aku mengatur langkah ke arah lobi pelepasan.

Sementara menanti kelibat kereta Dahlia, ada seorang lelaki kurus yang berpakaian lusuh dan berkopiah datang menghampiriku. Dengan menunjukkan beberapa dokumen bukti, dia meyakinkan aku bahawa dia ingin mengutip derma untuk pembinaan maahad tahfiz di utara Semenanjung Malaysia. Dengan rela hati aku mendermakan sebilangan wang apabila terkenangkan pesanan ustaz di sekolah ku dahulu bahawa apabila kita meninggal dunia kelak, kita tidak lagi berpeluang untuk beroleh pahala kebaikan melainkan tiga sumber kebaikan yang akan berterusan pahalanya iaitu doa anak yang soleh, ilmu yang dipanjangkan dan sedekah jariah.

Tidak lama kemudian aku didatangi pula oleh seorang lelaki warga asing yang mencurigakan sambil menunjukkan sesalinan surat rasmi. Aku meneka pastinya dia telah lama memerhatikan aku sebentar tadi dan ingin mencuba nasib untuk meraih dermaku seperti lelaki sebentar tadi. Menerusi bahasa melayu pelat yang cuba disampaikan, aku memahami dia ingin memohon derma untuk rumah anak-anak yatim dan surat rasmi yang ditunjukkan adalah kebenaran daripada badan-badan berkaitan.

Perwatakannya yang mencurigakan menyebabkan aku teringat emel-emel berantai yang pernah aku baca dahulu bahawa terdapat sindiket-sindiket sebegini. Golongan ini dengan mudah boleh menjadi kaya dengan berpura-pura seperti orang susah dan menunjukkan dokumen-dokumen yang belum tentu kebenarannya untuk mengutip derma setiap hari. Dengan perlahan aku menggelengkan kepala dan segera menjauhkan diri.

Tidak lama kemudian Dahlia tiba dengan keretanya dan menjemputku di luar lobi pelepasan KL Sentral. Walaupun latar belakang dan perwatakan di antara aku dan Dahlia kelihatan jauh berbeza tetapi kami telah berkawan rapat semenjak dari zaman persekolahan lagi. Dahlia berkelulusan tinggi dan kini menjawat jawatan yang penting di salah sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur berbanding aku yang hanya memiliki beberapa sijil kemahiran dan baru berjinak-jinak membuka butik pakaian sendiri.

Namun aku tidak pernah sekalipun rasa rendah diri apabila bersama Dahlia. Bukan kerana aku seorang yang tidak ‘sedar diri’ tetapi  kerana Dahlia yang tidak pernah sekalipun menyerlahkan jurang perbezaan itu. Kata-kata Dahlia yang  sentiasa aku ingat - ‘harta adalah untuk hidup tetapi persahabatan adalah untuk kehidupan’. Selain itu, aku kira perwatakan Dahlia juga adalah  jauh lebih ‘alim’ daripada aku kerana Dahlia sentiasa menjaga solat, melindungi auratnya dan amat bersopan santun tingkah lakunya.

Tidak lama lagi, Dahlia bakal mengakhiri zaman bujangnya dan akan mengahwini rakan sepejabatnya yang telah dikenali selama 2 tahun. Aku turut merasa amat gembira buat Dahlia semenjak aku mengetahuinya dan tidak sabar untuk bersama-sama membuat persiapan perkahwinan. Petang ini, Dahlia mengajak aku untuk meninjau butik-butik pakaian pengantin di Kuala Lumpur bersama-sama. Namun setelah aku bersama Dahlia di dalam kereta, aku merasakan kesugulan di wajah Dahlia memudarkan keterujaan yang aku rasai.

“Dahlia, kau OK ke ni? Penat sangat kerja ke?” aku memecahkan keheningan.

“Maafkan aku Seri. Sebab aku berdiam ke?” kata Dahlia sambil memusingkan stereng keluar dari kawasan menunggu di lobi pelepasan KL Sentral.

“Sebenarnya aku nak berkongsi sesuatu dengan kau. Tapi aku tak tahu macam mana nak mulakan…”

“Serius je bunyinya. Pasal perkahwinan kau ke? Famili? Kerja?”, aku cuba meneka.

“Yep, ni memang perkara serius. Lama sangat dah aku pendam sorang-sorang. Aku harap dapat luahkan pada kau, Seri,” balas Dahlia yang mencetuskan kegusaran di hatiku.

“Lia, kau tahu kau sentiasa boleh percayakan aku kan?” kataku perlahan sambil memegang tangan Dahlia di gear.

“Aku tahu kau memang sahabat baik aku Seri. Aku minta maaf sebab baru kini aku nak bagi tahu kau,” wajah Dahlia semakin serius ditambah rasa bersalah.

“Kau buat aku takut pula Lia,” aku menarik nafas panjang sebelum menyambung kata-kata.

“Baiklah, kau terus terang je ngan aku. Apapun yang kau nak bagi tahu aku, aku sentiasa disisi kau OK?”

“Lega aku dengar kau cakap begitu Seri,” Dahlia tersenyum kecil.

“Kau ingat tak pasal tiga tahun lepas?” Dahlia memulakan cerita dengan persoalan.

“Tiga tahun lepas? Masa kau buat Master di London dulu?”, aku cuba mengingati apa yang berlaku tiga tahun lepas.

“Yep, aku katakan pada kau yang aku terpaksa extend belajar sebab ada paper yang aku gagal?” terang Dahlia.
Aku mengangguk kecil kerana telah mengingati apa yang dimaksudkan Dahlia.

“Sebenarnya aku terpaksa tipu kau. Malah aku tipu semua orang pada masa tu,” kata-kata Dahlia yang amat mengejutkan aku.

Benakku ligat memikirkan apa yang mungkin disembunyikan oleh Dahlia pada masa itu. Mungkinkah turut melibatkan diri aku atau apa-apa yang mungkin aku lakukan.

“Aku sebenarnya….”

Sambung Dahlia secara tersekat-sekat.

“Mengandung masa tu…!”

“APA????”
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-7-2012 03:48 PM | Show all posts
Pengakuan yang terkeluar daripada mulut Dahlia itu memang amat mengejutkan aku kerana langsung tidak terlintas di fikiran tentang apa yang dikatakannya itu. Aku seolah-olah tidak percaya dan berulang kali aku meminta pengesahan.

“Aku terlanjur dengan pelajar kat sana semasa mabuk ketika itu.”

Aku seolah-olah tidak mengenali Dahlia apabila mendengar kisahnya itu. Cukup sukar untuk aku percaya bahawa Dahlia mengandungkan anak di luar nikah, ditambah pula dengan pengakuan Dahlia yang meminum minuman keras dan mabuk. Aku terbayangkan petikan-petikan drama yang pernah aku saksikan sebelum ini mengenai gadis-gadis liar di kelab dan aktiviti-aktiviti sosialnya.

Namun Dahlia terus menyambung pengakuannya.

“Mula-mula memang aku terfikir untuk gugurkan kandungan itu. Tapi aku tak nak menambahkan dosa aku, jadi aku teruskan kandungan aku hingga lahir.”

“Jadi kau dah ada anak?” ternyata kejutan aku tidak berakhir di situ.

Dahlia mengangguk perlahan.

“Tetapi aku serahkan kepada sebuah keluarga angkat disana.”

“Lepas papa dan mama terima pinangan Azri tempoh hari, aku berterus terang dengan mereka mengenai perkara ini.  Mereka memang patah hati dan marah ketika itu. Tapi kini mereka semakin boleh menerima. Mereka ingin mencari anak aku semula di London.”

Dahlia meneruskan ceritanya sambil aku terus memakukan pandangan aku ke luar kereta dan mendiam seribu bahasa.
Mindaku semakin ligat mencari ruang bagi menghadam fakta-fakta baru dan mengejutkan yang aku terima itu. Sukar untuk aku selaraskan Dahlia yang aku kenal dengan Dahlia yang baru aku ketahui ini.

“Tetapi aku belum beritahu Azri. Aku tak tahu macam mana nak sampaikan pada dia. Pasal diri aku satu hal. Pasal anak aku pula,” Aku merasakan Dahlia sedang mengalirkan air mata dari tutur katanya yang teresak-esak.

Namun aku masih membatukan diri, tidak tahu apa respon sepatutnya yang perlu aku beri. Aku rasa seperti hilang kepercayaan terhadap Dahlia yang aku kenali selama ini.

“Aku pernah dengar Azri cakap pada kawan-kawan dia. Kalau nak cari stok bini carilah yang baik dan alim macam Dahlia. Kalau dia tahu perkara sebenar…..”

Dahlia tidak dapat meneruskan kata-katanya kerana terlalu sedih.

Kereta yang dipandu Dahlia melalui sebuah lorong di Brickfields untuk menuju ke Mid Valley Megamall. Kereta mereka terhenti di hadapan sebuah lintasan pejalan kaki dengan lampu isyarat merah. Seorang lelaki berbadan tegap yang menaiki sebuah motosikal besar berjaya mencelah di antara kereta kami dan kereta bersebelahan untuk berhenti sementara menanti lampu isyarat bertukar menjadi hijau.

Ketika lampu isyarat hampir bertukar, kelihatan seorang wanita buta berketurunan cina teraba-raba ingin melintas jalan menggunakan tongkat. Dahlia kelihatan teragak-agak untuk menekan pedal minyak sebagaimana kereta bersebelahannya juga. Selang beberapa saat setelah lampu isyarat bertukar hijau, kereta-kereta dibelakang kami mula menekan hon berkali-kali agar kami menggerakkan kereta tetapi wanita buta tersebut masih lagi teragak-agak untuk berjalan.

Dengan pantas lelaki tegap di sebelah kami turun daripada motosikalnya dan menuju ke arah wanita buta itu. Namun apa yang memeranjatkan aku adalah apabila lelaki tersebut menoleh ke arah kami. Aku merasakan seolah-olah aku mengenali lelaki tersebut. Bersungguh-sungguh aku cuba menyelak ingatanku bagi mengingati identiti lelaki tersebut.

Akhirnya baru aku teringat bahawa lelaki tersebut adalah ‘Hero Semasa’ di dalam komuter yang mengherdik Jun Pyo dan Ji Hu. Kami membulatkan mata menantikan apa yang bakal dilakukan oleh Hero Semasa kepada wanita tua itu. Dengan perlahan dia memimpin wanita tersebut dengan penuh ramah dan mesra untuk menyeberangi jalan dengan selamat. Tidak semena-mena hati kecil aku tersentuh dan air mata jernih bertakung di kelopak mataku. Mindaku yang berserabut sebentar tadi mulai tenang dan seolah-olah ada cahaya yang cerah.

“Dahlia, hentikan kereta kau sebentar di bahu jalan,” aku berkata sejurus selepas Dahlia menyambung pemanduan dari lampu isyarat tersebut.

“Kenapa Seri?” tutur Dahlia dalam nada terkejut.

“Kau bukan nak keluar dari kereta ini untuk tinggalkan aku kan?” tanya Dahlia sambil memberhentikan kereta di bahu jalan.
Hati aku kini bergejolak dengan penuh rasa bersalah dan hiba.

Aku berharap agar kumpulan pelajar muda di dalam komuter tadi kekal meraikan persamaan mereka. Aku bersimpati pada Jun Pyo dan Ji Hu kerana menjadi mangsa masyarakat yang gemar melabel. Aku marahkan Hero Semasa yang aku anggap jahat kerana tidak peka atau sensitif dan aku tinggalkan peminta derma warga asing yang merapati aku sedangkan aku boleh bertoleransi dengan peminta derma sebelum itu.

Aku berharapkan masyarakat di sekelilingku untuk berubah menjadi lebih baik sedangkan aku sendiri tidak menghargai persamaan.  Aku sendiri yang berprasangka kerana perbezaan yang terzahir. Malah aku sendiri boleh melabelkan orang itu jahat atau pun baik.
Mungkin kelemahan aku itu tidak memberi kesan terus terhadap mereka yang tidak aku kenali rapat. Tetapi di hadapan mata aku kini adalah sahabat baik aku sendiri yang aku kenali selama bertahun-tahun; yang tidak pernah membuat aku rasa tersisih dan sentiasa berada di sisi aku semasa susah dan senang.

Aku rasa amat bersalah sekali kerana melupakan persamaan yang kami pernah raikan, menyamakan Dahlia dengan kisah-kisah buruk yang aku pernah dengar atau saksikan sebelum ini dan yang paling aku kesali; Dahlia begitu mempercayai aku dengan menceritakan rahsianya tetapi aku pula terdetik untuk melabelkannya sebagai jahat!

“Dahlia, dengar kata-aku aku ni baik-baik,” aku memegang bahu Dahlia untuk menghadap aku.

“Kita semua manusia adalah kelabu. Tiada siapa yang benar-benar baik dan tiada siapa yang benar-benar jahat. Kita semua manusia yang tak sempurna yang pernah melakukan kebaikan dan kejahatan. Orang yang kita nampak pernah lakukan kebaikan tak semestinya dia orang yang putih, dan orang yang kita tahu lakukan kejahatan, tak semestinya dia adalah orang yang hitam,” ujar aku secara bersungguh-sungguh sambil merenung tepat ke mata Dahlia.

“Kalau Azri betul-betul sayangkan kau dia sepatutnya boleh menerima diri kau yang kelabu. Kesalahan tetap satu kesalahan, tetapi menyedari kita berbuat kesalahan dan keinginan mahu berubah tetap satu kebaikan,” air mataku yang terbendung kini mengalir keluar sambil berpelukan dengan Dahlia.

TAMAT!
Reply

Use magic Report

Post time 24-7-2012 03:58 PM | Show all posts
sama posted on 24-7-2012 03:48 PM
Pengakuan yang terkeluar daripada mulut Dahlia itu memang amat mengejutkan aku kerana langsung tidak ...

Ala....dah habis?

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-7-2012 04:02 PM | Show all posts
Objektif mahu sampaikan tema kehidupan yang kelabu itu... Semua manusia ada kebaikan dan keburukan masing2...
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 25-7-2012 11:54 AM | Show all posts
Baru nak ambik feel baca. Habis dah?

Potong stim betul!



Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2012 04:07 PM | Show all posts
abis cm tu je?
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

10-5-2024 06:28 PM GMT+8 , Processed in 0.068387 second(s), 36 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list