View: 1745|Reply: 0
|
Hipnoterapi Mampu Bantu Kawal Kegemukan?
[Copy link]
|
|
Pernahkah anda membayangkan diri anda mengalami hipnosis? Tentunya perkara pertama yang terlintas di fikiran anda apabila mendengar perkataan hipnosis ialah hayunan rantai atau pendulum di depan mata hingga menyebabkan khayal dan minda di bawah kawalan orang lain.
Namun, itu adalah kaedah konvensional yang dilakukan oleh pengamal hipnosis sejak dahulu kala lagi. Berdasarkan kajian, kaedah hipnosis dipercayai telah dimulakan sejak tahun 1743 lagi oleh Dr. Franz Anton Mesmer.
Kaedah yang dinamakan Mesmerisme sempena nama beliau, menggunakan teknik kuasa percakapan (power of words).
Menurut seorang pengamal hipnosis bertauliah, Dr. Zulkifli Alias, semuanya boleh dilakukan asalkan ada kemahuan dan kesungguhan.
Beliau menerangkan maksud hipnosis ialah keadaan separa sedar yang membuatkan seseorang tenang (fizikal dan mental) hingga membolehkan dia membuat perubahan kelakuan seperti dikehendakinya.
“Dalam keadaan ini manusia sebenarnya memulihkan diri mereka sendiri, bergantung kepada tahap ketenangan yang mampu mereka capai,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Desa, Kuala Lumpur.
Senarionya, rawatan hipnoterapi kini diterima secara meluas dalam dunia perubatan Barat, cuma di negara ini ia masih di peringkat awal. Malah ada segelintir individu yang menganggapnya sebagai satu perkara negatif yang dikaitkan dengan amalan pukau.
Kata Zulkifli, kaedah hipnosis telah diiktiraf sebagai sebahagian rawatan alternatif untuk membantu pesakit menyelesaikan masalah pada diri mereka sendiri.
Antara masalah yang boleh diselesaikan melalui rawatan dikenali sebagai hipnoterapi ialah tekanan emosi, kesukaran tidur, tiada keyakinan diri, memudahkan serta mengatasi masalah bersalin, menghilangkan tabiat merokok dan banyak lagi.
“Ramai wanita di pertengahan usia turut mengamalkan hipnoterapi untuk menurunkan berat badan dan menaikkan seri wajah,” tambahnya.
Menurut Zulkifli, pesakit perlu berasa selesa dan dia perlu mencatatkan impian atau sasarannya supaya perkara tersebut boleh disebut ketika minda pesakit dalam keadaan separa sedar.
“Pesakit tidak perlu bimbang kerana mereka berhak membawa rakan atau ahli keluarga untuk menemani sepanjang proses hipnoterapi berlangsung.
“Terdapat banyak cara boleh dilakukan untuk mencapai minda separuh sedar sama ada berbaring atau duduk mengikut keselesaan pesakit. Pesakit mungkin diminta membayangkan keadaan yang selesa dan pendengaran ditumpukan kepada suara pengamal hipnoterapi,” jelas Zulkifli.
Malah, pesakit tidak perlu risau kerana mereka boleh kembali ke minda sedar sepenuhnya pada bila-bila masa yang difikirkan perlu.
“Dalam perawatan, mereka diminta untuk menenangkan diri dan membayangi diri mereka seperti yang dikehendaki, pengamal hipnoterapi pula akan membantu menerusi tutur kata dan itulah keajaiban minda di bawah sedar,” ujarnya.
Untuk rawatan hipnoterapi menurunkan berat badan atau hipnoslimming, pesakit perlu melalui tiga proses iaitu membayangi, mempercayai dan sentuhan.
Bagaimanapun, Zulkifli menegaskan, hipnoterapi bukan bertujuan mengambil alih rawatan moden, sebaliknya melengkapkan kaedah rawatan sedia ada bagi kebaikan pesakit. Ia sebagai rawatan alternatif asalkan mereka yakin dan percaya dengan cara yang dipilih.
“Yang paling penting kaedah hipnoterapi tidak menggunakan sebarang ubatan dan tiada kesan sampingan,” tambahnya.
Kesan hipnoterapi ini juga berbeza antara individu. Ada yang memerlukan hanya lima jam untuk menampakkan keberkesanan, bergantung kepada tahap ketenangan masing-masing.
Sementara itu, pengamal hipnoterapi dari London College of Clinical Hypnosis, Sheila Menon berkata, rawatan hipnosis klinikal boleh membantu individu bermasalah.
Malah, tiada sesiapapun berhak dihipnosis tanpa keizinan individu itu sendiri.
Kata Menon, ia boleh dilakukan dengan memberi cadangan positif kepada minda separuh sedar tadi oleh pengamal hipnoterapi.
“Hipnosis ialah cara paling berkesan untuk kita berhubung atau berkomunikasi dengan diri sendiri yang dalam keadaan bawah sedar.
“Wanita sering mengalami masalah kegemukan terutama selepas melahirkan anak. Akibat daripada kegemukan tersebut ramai di antara mereka yang hilang keyakinan diri, mengalami tekanan, gangguan emosi dan malu untuk tampil di khalayak ramai,” ujarnya ketika membentangkan ceramah sempena Simposium Kesihatan Wanita Antarabangsa 2006, di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Lebih malang menurut Menon lagi, tidak ramai daripada wanita ini dapat meredakan gangguan emosi akibat masalah kegemukan dalam jangka masa singkat.
Biasanya, ia berlanjutan hingga masalah baru timbul dan badan akan menghasilkan lebih banyak hormon tekanan. Akibatnya, paras hormon tekanan akan berganda daripada normal.
Kata Menon, antara cara terbaik mengawal berat badan melalui rawatan hipnoterapi ialah belajar berehat dan bertenang.
Namun, dua perkara ini lebih mudah diucap daripada dilaksanakan, tetapi ia bukan mustahil untuk dicapai.
Menon menjelaskan, hipnosis untuk menurunkan berat badan boleh dilakukan sendiri dengan berbaring di katil dan rehatkan semua otot serta lapangkan fikiran.
“Kemudian bayangkan perkara yang anda ingin lakukan. Gunakan imaginasi seolah-olah anda melakukan perkara berkenaan. Ia juga cara terbaik untuk mengatasi perkara digeruni seperti darah gemuruh.
“Kaedah hipnosis sendiri ini jika diamalkan selama 21 hari boleh membantu memupuk sifat positif, keyakinan dan keupayaan diri. Apabila mahir, ia boleh dilakukan di mana saja, termasuk ketika menunggu kenderaan awam supaya anda sentiasa tenang.
“Namun paling penting ialah kesungguhan kita untuk memupuk sifat positif dalam diri,” katanya.
Tips mengelakkan pemikiran dikuasai
* Apabila berjalan seorang diri jangan memikirkan satu perkara sahaja terutama apabila berada di tempat yang ramai orang. Caranya; menyanyi dalam hati.
* Jangan berkhayal terutama di tempat sibuk
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Wanita & Lelaki
|