SAYA amat risau kerana selepas melahirkan anak bongsu pada dua tahun lalu, haid saya semakin banyak dan berketul-ketul. Adakah ini bererti saya mengalami penyakit barah rahim?
n Siti, Kelantan.
JAWAPAN
Masalah haid yang berpanjangan atau berlanjutan memang membimbangkan wanita Islam apabila tidak dapat bersolat dengan sempurna. Biarpun dibolehkan bersolat selepas tempoh 15 hari datang haid, namun pasti menjadi gangguan.
Apa yang penting, masalah seperti ini tidak harus disembunyikan kerana sikap tidak ambil berat itu lebih banyak membawa mudarat daripada manfaat. Wanita yang mengalami masalah pengeluaran darah haid yang banyak atau menoragia dinasihatkan berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan penyiasatan awal.
Ujian darah
Ujian ini termasuklah ujian darah untuk mengenal pasti aras hemoglobin (sel darah merah) dan juga aras pelbagai hormon. Ujian fungsi tiroid dan prolaktin juga patut diambil. Ini adalah penting untuk mendapat diagnosis yang tepat dan rawatan yang sepatutnya dapat diberikan. Doktor juga akan melakukan pemeriksaan imbasan ultrabunyi untuk mengimbas sistem reproduksi wanita sama ada mengalami masalah atau tidak.
Tujuannya untuk meneliti rahim bagi masalah seperti fibroid, mengukur ketebalan dinding rahim dan kemungkinan wujudnya sista dalam ovari.
Bagi wanita yang berusia lebih 40 tahun, mereka disyorkan menjalani ujian histeroskopi dan persampelan tisu endometrium (tisu dalam rahim) untuk mencari punca dalam rongga rahim. Sampel tisu endometrium akan dihantar bagi tujuan histologi. Apa yang penting, adalah untuk melihat jika wujudnya masalah seperti barah atau kanser rahim.
Pendarahan haid banyak berlaku pada wanita berumur lebih 40-an kerana gangguan kitaran ovulasi pada ovari. Kitaran normal memerlukan interaksi hormon daripada kelenjar pituitari, ovari dan rahim. Paksi pituitari, ovari dan rahim berjalan normal sekiranya tiada masalah pada ketiga-tiganya. Apabila umur melebihi 40 tahun, ada folikel atau benih telur tidak dapat membesar dengan baik hingga ke peringkat ovulasi. Apabila tiada ovulasi, dinding akan dirangsang terlalu lama dan maksimum kerana folikel akan menghasilkan hormon estrogen yang berlebihan. Apabila dinding terlalu tebal, ia akan luruh dengan banyak dan menyebabkan menoragia. Fibroid tidak mengganggu haid kecuali jika sudah terlalu besar atau membesar di dalam rongga rahim. Fibroid di dalam rongga rahim dipanggil fibroid jenis submukosa.
Ada pelbagai rawatan untuk masalah menoragia. Pakar sakit puan banyak menggunakan sistem intrauterin (intrauterine system- IUS), iaitu Mirena. Penggunaan IUS pula sesuai bagi mereka yang mempunyai rahim bersaiz normal dan rahim tidak mempunyai masalah lain seperti fibroid. Kaedah ini juga sesuai bagi mereka yang tidak mahu atau tidak sesuai membuat pembedahan dan ingin mencuba kaedah yang konservatif.
Bagi golongan remaja, kaedah rawatan menggunakan hormon seperti pil pencegah kehamilan perlu diambil selama 21 hari. Dengan mengambil pil berkenaan, kitaran dan jumlah haid akan berkurangan. Jika mengalami senggugut, masalah itu pun akan berkurangan dan ada yang hilang terus. Pil ini juga boleh diambil dalam masa yang agak lama dan berisiko rendah pada remaja.
Realitinya sukar menentukan keberkesanan kaedah rawatan yang sempurna bagi seseorang wanita untuk mengatasi masalah haid yang banyak.
- Bersama profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi) Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.
|