Kumpulan Baju Merah berhimpun di Ratchaprasong, Bangkok.
BANGKOK - Sekitar 20,000 penyokong Baju Merah berhimpun di RatchThailand di Ratchaprasong, Bangkok bagi memperingati ulang tahun ke-3 kebangkitan rakyat terhadap antikerajaan, semalam.
Menurut laporan AFP, pada kejadian itu, lebih 80 orang awam terbunuh manakala hampir 1,900 cedera dalam pertempuran jalanan antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan.
Semalam, beberapa jalan raya ditutup selepas kumpulan Baju Merah yang merupakan penyokong kuat bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra berhimpun di pusat bandar.
Ketua polis, Mejar Jeneral Chantavit Ramasut berkata, dianggarkan 20,000 orang menyertai tunjuk perasaan itu.
“Bantahan berlangsung secara aman. Seramai 750 anggota polis ditempatkan di sekitar lokasi perhimpunan untuk mengawal keselamatan,” katanya.
Kebangkitan rakyat berlaku selepas Thailand dipisahkan dengan perbezaan fahaman politik sejak Thaksin digulingkan pihak tentera dalam satu rampasan kuasa pada 2006.
Kumpulan hak asasi menuntut supaya mereka bertanggungjawab melakukan keganasan dalam operasi tentera pada 2010 dihadapkan ke muka pengadilan.
Namun, aktivis mengecam tindakan kerajaan pemerintah sekarang yang di pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra apabila memberikan pengampunan kepada mereka.
Sementara itu, polis percaya enam individu terlibat dalam letupan di Hotel Asia di Narathiwat, Sabtu lalu.
Superitenden Satan Wamasingh berkata, dua pelanggan hotel, Sulaiman Yapa dan Tameesi Jeyor, masing-masing berumur 19 tahun berasal dari daerah Sukhirin terlibat dalam kejadian itu.
“Kami dapat mengesan pergerakan mereka yang mencurigakan melalui kamera litar tertutup sebelum bergegas meninggalkan hotel terbabit sebelum letupan,” katanya.
Menurutnya, empat lagi pelanggan hotel yang menginap di dua bilik berdekatan dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek.
|