KUALA LUMPUR 2 Jun - Kampung Baru bakal mempunyai mercu tanda baharu apabila sebuah bangunan eksklusif setinggi 40 tingkat meliputi hotel dan pangsapuri perkhidmatan bakal mewarnai kawasan berkenaan menjelang 2015. Projek yang dikenali sebagai Mercu Zikay Residence @ Kampung Baru (Mercu Zikay) berkenaan akan dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat hartanah, Zikay Group Sdn. Bhd. (Zikay) dengan nilai pembangunan kasar RM300 juta. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Anuar Mohamed (gambar) berkata, Mercu Zikay akan menempatkan hotel bertaraf empat bintang dengan kapasiti 289 buah bilik berserta ruang pakir setinggi 12 tingkat.
Menurutnya, bahagian atas pula menempatkan pangsapuri perkhidmatan berkapasiti 130 unit berserta dua buah penthouse. "Lokasi bangunan ini sangat strategik kerana menawarkan pemandangan indah Menara Berkembar Petronas dan bandar raya Kuala Lumpur. "Pembinaan Mercu Zikay telah dimulakan sejak Jun tahun lalu dan dijangka siap menjelang Mei 2015," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Mercu Zikay dibina di tanah seluas satu ekar berdepan dengan Masjid Jamek Kampung Baru yang dibeli kumpulan berkenaan pada 2009 dengan harga RM280 sekaki persegi. Anuar berkata, bangunan itu dibina dengan konsep campuran hotel dan pangsapuri perkhidmatan kerana lokasinya yang strategik dan atas faktor tanah yang terhad. "Hotel yang dinamakan Tamu di Mercu Zikay ini juga mematuhi Syariah bagi mengekalkan ciri-ciri masyarakat Melayu di Kampung Baru ini. "Bahagian bumbung pula akan menempatkan pad pendaratan helikopter berikutan industri pelancongan semakin berkembang dan kami berpendapat sistem pengangkutan helikopter semakin mendapat perhatian," jelasnya.
Pangsapuri perkhidmatan di Mercu Zikay menawarkan tiga jenis rumah iaitu dengan kapasiti satu hingga tiga bilik dengan keluasan antara 585 hingga 2,498 kaki persegi dan harga permulaan bermula dari RM546,500. Bagi menarik kehadiran pelancong, sebuah tempat rehat Sky Lounge di tingkat 27 dan sebuah Sky Dinning di tingkat 40 akan dibina di Mercu Zikay. Anuar berkata, setakat ini 40 peratus daripada pangsapuri perkhidmatan telah terjual kepada pelanggan terpilih dan selebihnya akan dijual semasa majlis pelancarannya kelak. "Pembinaan Mercu Zikay dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk di sekitarnya terutamanya melibatkan nilai hartanah mereka," ujarnya.
|