Jika nak diikutkan artis ini memang berbakat dalam bidang lakonan. Beri apa saja watak sama ada komedi atau antagonis, mampu dilakonkan dengan baik, sekali gus menimbulkan kesan pada penonton. Namun, kerana perangai buruknya yang suka buat hal, besar kepala dan bergaduh dengan pengarah dan kru di lokasi, ramai produser dan pengarah yang takut hendak mengambilnya berlakon dalam drama serta filem mereka sejak kebelakangan ini.
Kata rakan SS, setiap kali dia terbabit dengan mana-mana produksi, pasti ada saja masalah yang cuba ditimbulkan atau dia tidak puas hati dengan produksi berkenaan hingga mengganggu kelancaran proses penggambaran.
Kerana sikap buruknya itu jugalah, tawaran berlakon yang diterima artis itu semakin berkurangan dan kadang-kadang tiada langsung. Justeru, kata rakan SS, terpaksalah artis ini mengekori isterinya ke lokasi penggambaran pula sekarang.
Lebih tepat lagi, SS katakan, artis ini terpaksa mengambil alih tugas menjadi pengasuh anak mereka yang masih kecil ketika si isteri sibuk menghayati watak di lokasi penggambaran.
Nak buat macam mana, walaupun anak mereka masih kecil dan masih menyusu badan, terpaksa si isteri bekerja siang dan malam untuk menampung kos hidup mereka bertiga yang turut bertambah itu.
Bagi SS pula, sampai masanya, artis itu membuang sikap buruknya dengan segera untuk membersihkan namanya dalam bidang seni tempatan.
Maklumlah, artis itu sudah berkeluarga dan dia perlu membantu isterinya untuk menambah pendapatan mereka. Pada masa sama, kos hidup di ibu kota juga semakin meningkat dan tidak cukup jika hanya seorang isteri atau suami yang bekerja.
|