UCHING 3 Okt. - Gara-gara bergaduh kerana memotong barisan semasa hendak mengisi minyak, seorang guru silat cedera parah akibat ditikam di perut oleh seorang lelaki dengan pisau di sebuah stesen minyak di Jalan Astana di sini malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Roselina Daud berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam ketika mangsa, Morshidi Maton, 63, dari Pertubuhan Silat Hidayah Melayu menunggu giliran untuk mengisi minyak motosikalnya. Katanya, tiba-tiba muncul suspek berusia 23 tahun lalu memotong barisan mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.
"Mangsa seterusnya menghampiri lalu menendang suspek dua kali. Suspek yang tidak berpuas hati mengeluarkan pisau lipat daripada beg galas lalu menikam perut mangsa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Roselina berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, bersama pisau lipat itu yang masih tercacak di perutnya.
"Siasatan awal polis mendapati ketika kejadian berkenaan, suspek yang merupakan pelajar kolej swasta itu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol. "Suspek ditahan reman mulai hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan sengaja," katanya.
|