- Seorang pengemis warga China ditahan kakitangan JKM Johor Bahru dalam serbuan yang dijalankan.
[url=]<[/url] 1 / 1 [url=]>[/url]
SENAI - Kemewahan hidup dan sikap prihatin rakyat negara ini menyebabkan ramai warga asing mengambil kesempatan berulang-alik dari negara asal ke Malaysia semata-mata untuk mengemis.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, ramai pengemis warga asing didapati melakukan kesalahan sama selepas beberapa bulan ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kebanyakan yang ditahan adalah warga Myanmar, Indonesia dan China malah ada di antara mereka ditahan semula selepas empat atau lima bulan kerana melakukan kesalahan serupa.
“Ada pengemis yang menyalahgunakan pas lawatan sosial dan sanggup berulang-alik dari negara asal untuk mengemis di sini kerana mampu meraih hasil lumayan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Manayi berkata, tahun lalu, seramai 103 pengemis ditahan termasuk 29 warga asing, sementara 44 ditahan sehingga Ogos tahun ini termasuk enam warga asing.
Selain itu, beliau turut mengesyaki wujud sindiket pemerdagangan orang yang mengatur pengemis terbabit untuk mendapatkan simpati orang ramai khususnya bagi golongan kurang upaya.
Jelasnya, dalam serbuan baru-baru ini, pihaknya berjaya menahan seorang pengemis cacat penglihatan yang datang dari Kuala Lumpur.
“Dia memberitahu dibawa ke sini bersama sekumpulan pengemis lain menaiki van dan membayar upah RM70 sehari kepada lelaki yang membawa mereka ke sini (Johor Bahru) selain turut menanggung kos penginapan dan makan.
“Hasil siasatan kami mendapati pengemis berkenaan mampu meraih sekurang-kurangnya RM200 sehari,” katanya.
Manayi berkata, tindakan penguatkuasaan giat dijalankan namun masalah berkenaan terus berlaku malah terdapat golongan penerima bantuan JKM turut ditahan kerana mengemis.
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/pengemis-tidak-serik-1.210275
|