Ipoh: “Memang sangat senang. Kita hanya perlukan kemudahan WiFi pada telefon pintar dan selepas itu, semua novel atau cerpen lucah Melayu boleh dimuat turun melalui aplikasi e-book (buku digital),” jelas pelajar tingkatan lima, Rosman, 17, (bukan nama sebenar) yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak lama lagi. Menurutnya, ratusan nukilan novel atau cerpen lucah berbahasa Melayu boleh diperoleh tanpa perlu bersusah payah mencarinya di kedai majalah atau melayari Internet. Dia yang ditemui wartawan bersama rakan sebaya berkata, antara buku lucah digital yang mudah dimuat turun antaranya menggunakan judul cerita seks, cerita seks 1, cerita seks III dan pelbagai judul lain. “Saya tertarik dengan pelbagai cerita ghairah ini terutama membabitkan hubungan terlarang antara guru dan murid. “Pada mulanya saya tidak mengetahui kewujudan buku digital ini sehinggalah seorang rakan menunjukkan kaedah memuat turun aplikasi ini melalui Play Store. “Saya sangkakan aplikasi itu hanya berfungsi untuk mendapatkan ratusan permainan secara percuma, namun saya tidak sangka ia turut menawarkan buku digital lucah,” katanya. Dia yang belajar di sebuah sekolah di Tambun, di sini, turut menunjukkan kaedah mudah memuat turun buku digital itu yang boleh dilakukan dalam tempoh masa kurang 30 saat. “Saya tidak perlu rasa takut-takut kerana kewujudan buku digital ini tersembunyi di dalam telefon bimbit tanpa diketahui sesiapa.
Banyak rahsia lain ada di dalam telefon ini termasuk koleksi gambar lucah,” katanya. Seorang lagi rakannya yang hanya mahu dikenali sebagai Along, 17, berkata, kewujudan buku digital lucah ini tidak ubah seperti perpustakaan porno bergerak yang boleh dimuat turun sesiapa saja. “Saya sudah khatam semua cerita novel dan cerpen e-Book ini yang mengandungi ratusan judul kisah lucah.
Zaman sudah berubah, sekarang tidak lagi perlukan buku atau majalah untuk melihat semua ‘benda’ ini,” katanya. Sementara itu, wartawan Harian Metro mendapati terdapat kira-kira empat buku digital lucah berbahasa Melayu yang mudah dimuat naik dengan kandungan cerita mengghairahkan dan menjadi tarikan remaja sekolah. Kebanyakan cerita berkenaan sebelum ini pernah dipaparkan melalui laman web lucah seperti Melayu Boleh, Cerita Panas Melayu, melayu bogel, melayu telanjang, redtube Malaysia, tube8 dan pelbagai laman sesawang lain. Bagaimanapun, semua laman web lucah itu sudah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
|