CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2894|Reply: 7

Novel : Jika Rindu Berbicara....

[Copy link]
Post time 30-12-2013 12:16 PM | Show all posts |Read mode
Assalamua'alaikum semua. Ni nak bagi sedikit sedutan karya baru. Yang lama yang masih belum habis, pasti akan dihabisi juga. Hanya menantikan idea datang menjengah diri ini.

Aku cintakan kau Izz! Tapi mengapa kau tak pernah perasan akan kewujudan aku selama ini? Mengapa perlu bayangan Sabrina membayangi aku selalu? Aku tahu banyak kekurangan aku di mata kau. Jika aku lelaki, gadis seperti Sabrina jugalah yang menepati citarasa. Aku sedar, gaya dan lagakku tak ubah seperti gadis kampung. Salahkah aku menjaga auratku? Perlukah aku menunjukkan perhiasan aku kepada lelaki asing? Sampai bila aku perlu menanggung perasaan cinta yang tidak kesampaian ini?

                                                                           Aufa Darina, Oktober 2004  



Sedikit sedutan. Tidak tahu lagi adakah ianya cerpen atau novel.

Last edited by wipers81 on 3-5-2014 08:05 AM

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 30-12-2013 02:05 PM | Show all posts
Good teruskan...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 5-1-2014 01:01 PM | Show all posts

Prolog

Aufa Darina merenung kad jemputan perkahwinan yang masih elok di dalam sampul di atas meja soleknya itu. Saat ibunya menghulurkan kad itu tadi, seperti bumi ini terhenti berputar seketika. Begitu juga dengan degupan jantungnya. Sekarang, terketar-ketar tangannya saat mahu membuka sampul tersebut. Debaran di hati begitu rancak sekali. Matanya sudah kelihatan berair dan hidungnya sudah mula menerbitkan rona-rona merah. Sebak, pilu, sedih... semuanya hadir bersatu. Begitu payah dia mahu ‘menelan’ hakikat yang pahit bagaikan jadam itu. Hadirnya kad perkahwinan tersebut, benar-benar merobekkan hatinya.


Namun apalah dayanya yang hanya memegang gelaran manusia biasa. Hidup yang tidak pernah lari dari ujian. Kesenangan dan kebahagiaan juga salah satu cabang dari ujian di mana kebanyakkan insan menggemari ujian jenis itu. Siapalah yang suka hidup dalam kesusahan dan kesedihan? Sekeping kad berwarna keemasan sudah berada di dalam genggamannya. Lambat-lambat dia membukanya. Sebaik nama pengantin di dalamnya dibaca lalu gugurlah air mata yang selama ini menjadi peneman setianya. Kepalanya dilentokkan di atas meja solek itu. Aufa Darina mahu melayan barang sebentar hatinya yang berduka. Terhinggut-hinggut bahunya, mengikut rentak esakan yang terhasil.
Last edited by wipers81 on 3-5-2014 02:54 PM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-5-2014 08:18 AM | Show all posts

BAB 1

Hamparan panorama di hadapan Aufa Darina saat itu benar-benar menyiat-nyiat dengan rakus hatinya yang dirundung pilu. Hebat benar kepiluan yang sedang hebat melanda dirinya itu. Mahu sahaja hamburan tangisan terhasil darinya. Liar mata Aufa Darina memerhatikan keadaan di sekeliling bilik asramanya itu. Dia merasa agak kekok dengan keadaan sekarang. Seumur hidup, belum pernah sekalipun dia berjauhan dari keluarganya. Itulah kali pertama dia terpaksa berbuat demikian demi menggalas tugas sebagai pelajar dan sekaligus menunaikan hasrat kedua orang tuanya yang mahu melihat dia berjaya hingga mengenggam segulung ijazah. Dia benar-benar rasa terasing sekarang. Baru sahaja abah, mak serta Umar Safwan, satu-satunya adik yang dia ada berangkat pulang.

Aufa Darina cuba menyibukkan diri dengan mengemas pakaiannya. Satu persatu bajunya yang telah dilipat kemas, diangkat lalu disusun di dalam almari yang disediakan di dalam bilik asrama itu. Teman sebiliknya masih belum tiba lagi. Dia sendiri tidak tahu siapakah yang akan berkongsi bilik dengannya hingga tamat semester itu nanti. Ligat tangannya menyusun semua pakaian.

Usai menyusun pakaian, dia bergerak ke katil bujang yang akan menemani tidurnya nanti. Perlahan-lahan dia membentangkan cadar katil yang dipenuhi corak bunga ros berwarna merah hati itu sambil menarik-narik cadar itu untuk memperkemaskannya lagi. Kemudian dia mengambil sarung bantal lalu menyarung bantal miliknya begitu juga dengan bantal dakap kepunyaan Aufa Darina yang telah medapat ‘baju’ baru itu. Setelah agak berpuas hati dengan keadaan katil dan biliknya itu dia bergerak menuju ke pintu.




Hai, saya Izz. Sorang je ke?” sapa seorang jejaka.

Aufa Darina yang agak terperanjat dengan sapaan itu terangkat sedikit kedua bahunya. Dia berkalih, memandang ke arah jejaka yang tanpa segan silu melabuhkan duduk di kerusi sebelah kanannya. Terbuntang sedikit mata Aufa Darina. Sungguh berani pemuda itu, tutur hatinya. Dia kemudiannya mengerutkan kening sambil mengetap bibir.

“Awak siapa?” pendek soalan Aufa Darina.

“Kan tadi saya dah beritahu nama saya, Izz. Awak?” soal jejaka yang bernama Izz itu kembali dengan lagak yang selamba ‘badak air’ sahaja. Aufa Darina menggigit bibir pula, menahan geram.

“Kenapa sibuk nak tahu?” kasar sedikit jawapan dari Aufa Darina sekaligus menyatakan rasa kurang selesa dengan kehadiran jejaka itu. Aufa Darina menjeling. Entah faham atau tidak jejaka itu dengan kata-kata sinisnya tadi.

“Amboi, garangnya awak ni. Janganlah macam tu. Saya nak berkenalan dengan awak je, tak ada niat lain pun. Salahkah kalau saya hanya nak hulurkan salam perkenalan kepada awak?” tetap sahaja jejaka itu dengan soalan di akhir dialognya.

Aufa Darina menghela nafas. Nampaknya, jejaka bernama Izz itu memang seorang yang tidak faham akan bahasa lisan agaknya. Jika yang lisan pun tidak difahaminya apatah lagi bahasa tubuh.

“Saya tak kata pun salah tapi cuba lihat keadaan kita. Kan ke kurang manis jika pelajar lain nampak keadaan kita yang sedang berduaan sekarang ni. Orang kalau akal di lutut memang tak pernah fikir akan natijahnya. Awak faham tak maksud saya ni?” Aufa Darina menghamburkan sedikit geramnya dan dia juga dengan sengaja memerli jejaka itu. Boleh pula jejaka bernama Izz itu tersengih sambil memandang ke arahnya. Hati Aufa Darina kepanasan sekarang. Sah, jejaka itu sedang mereng otaknya barangkali.

“Alah, pedulikan apa yang orang nak kata. Bukan mereka yang sara makan minum kita. Kalau asyik nak pedulikan apa orang kata, sampai bila-bila pun hidup kita tak ada kemajuan. Buat atau tidak, tetap aje kita dibahankan. Adat manusia, begitulah. Dari tadi saya tanya nama awak atau awak ni memang tak ada nama ke?” bukan niat di hatinya mahu memerli, terasa gadis itu mahu jual mahal pula. Izz masih sabar menanti jawapan dari dia. Lama lagi ke? Susah betul dia mahu tahu nama gadis tersebut. Kalau gadis lain, tidak perlu dia yang bertanya.

Aufa Darina terpana seketika dengan apa yang keluar dari mulut jejaka itu. Betul juga seperti apa yang dikatakan oleh jejaka yang bernama Izz itu. Dia terdiam seketika. Kemudian,

“Penting sangat ke nama saya tu?” Aufa Darina meningkah. Dia agak geram dengan kelancangan mulut jejaka tersebut tetapi dalam masa yang sama menyokong kata-kata lelaki itu.

“Bagi awak memang tak penting tapi bagi saya ya. Tak apalah, kalau dah awak tak sudi nak beritahu nama awak, saya tak boleh nak paksa. Saya minta diri dululah. Ada rezeki dan jika umur kita masih panjang, Insya Allah kita akan bertemu lagi. Saya gembira dapat bersembang dengan awak. Assalamua’laikum,” terus sahaja Izz berlalu pergi.

Izz merasa agak hampa kerana salam perkenalannya disambut hambar oleh gadis itu. Mungkin, dia juga yang keterlaluan dalam bertindak. Mungkin cara atau gayanya menegur gadis itu yang tidak kena. Manalah dia tahu akan menerima layanan sebegitu rupa. Selalu, dia yang disapa oleh para gadis tetapi hari ini dalam sejarah pula buat dirinya. Tidak tahu mengapa gadis itu berjaya menarik minatnya. Tidak pernah lagi dia berjumpa dengan gadis yang dingin melayannya sebelum ini.

“Waalaikumussalam...” jawab Aufa Darina sambil ekor matanya bergerak mengikut arah jejaka itu pergi. Pelik! Itu yang Aufa Darina rasa. Termanggu dia seketika dengan reaksi jejaka itu. Beria-ia menegurnya kemudian pergi begitu sahaja. Aufa Darina mengangkat kedua bahunya dan kemudian dia juga bangun dan beransur pergi meninggalkan pondok tersebut.

Kelihatan Izz memalingkan wajah ke arah gadis yang sedang melangkah pergi itu. Bagi Izz pula, dia tidak tahu mengapa ringan sahaja kakinya melangkah menuju ke arah pondok yang sedang diduduki oleh gadis itu. Penampilannya ringkas sahaja, hanya berbaju kurung. Itu pun saiz baju kurungnya tidak padan dengan tubuh gadis itu yang kecil. Bajunya lebih besar sangatlah tidak padan dengan empunya tubuh yang masih muda itu. Tambahan pula corak baju gadis itu tersangatlah kusam dan hanya sinonim untuk para makcik sahaja. Namun itu semua adalah hak masing-masing dalam berpakaian. Walaupun begitu cara pemakaiannya, Izz akui gadis itu nampak ayu dan manis sekali.

Aufa Darina menolak daun pintu bilik asramanya sebaik tombol dipulas. Dengan kaki kanan dia melangkah masuk sambil di mulutnya melafazkan kalimah Bismillah dan diiringi dengan salam. Itulah yang sering dia lakukan ketika hendak masuk ke dalam rumah walaupun di dalam rumah tiada penghuni. Pantas tangannya mencapai tuala di penyidai dan ringan langkah dihayunkan ke arah bilik mandi di hujung bangunan. Dia mahu mengambil wudhuk untuk mengerjakan solat Asar. Usai mendirikan solat, Aufa Darina bergerak ke meja belajarnya. Selepas melabuhkan duduk, perlahan-lahan dia mengeluarkan buku diarinya. Sebatang pen dipegang kemudian laju sahaja tangannya berjalan di atas helaian kertas putih itu.


Entah  mengapa  hari  ini, ada seoarang pemuda yang tiba-tiba datang menyapaku. Aku  tidak  pernah disapa  dengan begitu ramah sebelum ini. Sebenarnya tiada apa perasaan yang timbul, cuma agak menjengkelkan aku sahaja caranya. Benar seperti apa yang dikatanya, mengapa perlu aku hiraukan kata-kata orang? Nampaknya aku perlu ubah kedinginanku jika mahu menjalinkan hubungan persahabatan dengan lelaki. Bukanlah aku mahu  terjerumus ke arah yang tidak baik tetapi apabila memikirkan kembali, sampai bila aku harus menyekat perbatasan hubungan aku dengan kaum itu jika aku pandai menjaga diri. Semua itu pasti tidak akan timbul masalah. Mungkin ungkapan maaf akan aku ungkapkan padanya apabila bertemu kelak.

                                                                                                            Aufa Darina – 2 Julai 2003


            Selesai mencoretnya, Aufa Darina menutup kembali buku yang banyak menyimpan rahsianya selama ini. Disandarkan tubuh ke kerusi belajarnya. Dia sangat senang meluahkan segala isi hati hanya kepada buku diari itu yang sudah seperti teman akrabnya pula. Aufa Darina tidak mempunyai ramai kawan sebelum ini. Ramai yang sering mengelak dari mahu berkawan dengannya. Dia adalah seorang gadis yang pendiam, hanya dengan hala tujunya sahaja. Ada juga sahabat mengatakan bahawa dia seorang gadis kolot tambahan pula dengan cara pakaian yang selalu sahaja berbaju kurung dengan saiz yang besar lagilah menonjolkan kekolotannya itu. Bagi diri Aufa Darina, dia tidak kisah akan semua itu selagi dia menutup aurat dan selagi maruahnya terjaga, dia lebih rela begitu.

            Aufa Darina kian hanyut di bawa arus yang sarat dengan memori lama. Kenangan yang lebih pahit dari manisnya. Dia sebenarnya tidak pernah ambil peduli akan apa yang orang di sekelilingnya berkata atau mengata tentang dirinya. Aufa Darina tidak pernah mengacau hidup mereka. Khayalannya mati tiba-tiba apabila kedengaran tombol pintu biliknya dipulas. Pandangannya pantas terhala ke sana. Sebaik terkuaknya daun pintu itu, terjengullah wajah seorang gadis. Aufa Darina senyum ke arahnya sebaik pandangan mereka bersatu. Gadis itu turut membalas senyuman. Aufa Darina lantas bangun mendapatkan gadis yang sedang berdiri di muka pintu itu.

            “Assalamua’laikum. Saudari cari siapa?” soal Aufa Darina sebaik dia berdiri di hadapan gadis itu.

            “Waalaikumussalam. Ini bilik nombor empat belas ke? Saya Sabrina.” Soal gadis yang bernama Sabrina itu. Dia melihat gadis yang menghuni bilik itu lebih awal darinya menganggukkan kepala. Satu helaan nafas lega terhasil darinya.

            “Nampaknya, kita akan jadi rakan sebiliklah ya.” Sambung Sabrina lagi. Gadis di hadapannya itu semakin melebarkan senyuman. Kemudian Sabrina menyambut huluran tangan gadis itu dan kini mereka saling berjabat tangan.

            “Jemputlah masuk Sabrina. Saya Aufa Darina binti Sulaiman. Gembira dapat berkongsi bilik dengan awak.” Balas Aufa Darina lalu mengemaskan lagi genggaman tangannya. Kedua mereka saling berbalas senyuman.

            “Kalau macam tu, kejap ya Aufa, boleh ke saya panggil awak macam tu? Saya nak turun ambil barang-barang saya.” Kata Sabrina. Dia melihat gadis itu mengangguk. Belum pun sempat dia mengatur langkah kedengaran namanya dipanggil. Pantas dia menoleh.

            “Sabrina, biar saya tolong awak. Jom, kita pergi sama-sama.” Aufa Darina mempelawa diri. Dia perlu memgubah kehidupannya sekarang dari pendiam ke peramah. Dia melihat Sabrina tersenyum dan menganggukan kepala.

            “Jomlah.” Ajak Sabrina lalu mereka berdua melangkah bersama selepas Aufa Darina mengunci pintu bilik mereka.

Last edited by wipers81 on 3-5-2014 08:27 AM

Reply

Use magic Report

Post time 3-5-2014 09:21 AM | Show all posts
bahasa cantik. Ipo suka! Good!..jln cerita pun ok..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-5-2014 01:53 PM From the mobile phone | Show all posts
Ipo posted on 3-5-2014 09:21 AM
bahasa cantik. Ipo suka! Good!..jln cerita pun ok..

Terima kasih ipo. Karya ipo pun bagus juga.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 3-5-2014 02:59 PM | Show all posts

BAB 2

Mereka berdua berjalan beriringan. Riuh suasana dengan celoteh dari Sabrina. Ramah benar dia berbanding Aufa Darina yang hanya menjadi pendengar sahaja. Sabrina meneruskan langkah mendapatkan kedua orang tuanya. Dia melihat papa dan mamanya agak leka bersembang dengan beberapa orang ahli keluarga penghuni yang lain. Aufa Darina mengekori Sabrina dari belakang.

“Mama, papa. Kenalkan kawan sebilik Ina, Aufa Darina.” Kata Sabrina sebaik sahaja mereka berdua sudah pun berada di dalam kelompok itu. Aufa Darina menghulurkan tangan untuk bersalam dengan mama Sabrina.

“Sedap nama tu, semanis tuan punya badan.” Puji Azimah sambil menyimpul senyum yang manis. Pertama kali melihat gadis itu, hatinya tertawan.

“Marilah Ina, barang kamu yang lain masih ada kat kereta. Jom kita pergi ambil,” sambung Azimah lalu mengajak anaknya mengambil barang di kereta yang di parkir agak jauh dari tempat mereka berada sekarang.

Eh, tak apalah makcik. Biar Aufa aje yang tolong Sabrina. Makcik teruskanlah bersembang.” Kata Aufa Darina mempelawa diri untuk menolong sahabat yang baru dikenalinya itu. Dia benar-benar ikhlas menuturkannya. Lagipun, dia sedikit kebosanan kerana asyik duduk terperap sahaja di dalam bilik asramanya sejak dia sampai tadi.

“Tak menyusahkan Aufa ke?” soal Azimah. Dipandang lama wajah anak gadis yang manis itu. Sungguh, hatinya benar-benar tertawan.

“Mana ada menyusahkan makcik. Sayapun bukan ada apa nak dibuat. Saya pergi dulu makcik.” Balasnya lalu dengan segera melangkah pergi mengekori Sabrina yang agak jauh meninggalkannya. Laju betul langkah rakan barunya itu. Azimah hanya menguntum senyum melihat Aufa Darina berlalu pergi.

Eh,ke mana pula Sabrina? Bukan tadi ada kat depan aku ke?” Aufa Darina sedikit tercengang sambil mencari kelibat Sabrina.

“Hai, cari siapa tu?” satu suara menyapanya.

“Opocot kau orang!” latahan yang terkeluar dari mulut Aufa Darina hingga menyebabkan dia menekup mulut dengan tangan kanannya.

Kedengaran seseorang sedang mentertawakannya. Dia berpaling, menghadap tubuh empunya suara yang menyapanya secara tiba-tiba itu. Matanya dibesarkan sambil menggigit bahagian bawah bibirnya. Geramnya dia dengan jejaka itu.

“Aduh, senak perut saya ni. Tak sangka pula awak ni kaki latah. Macam-macam,” katanya lalu menyambung kembali ketawa dan kali ini lagi kuat hamburannya.

“Tolong sikit ya. Apa nama awak tadi, hmm... Izz. Saya bukannya kakil atah ya tapi kalau dah kena sergah macam tadi tu, yang tak latah pun boleh melatah. Tak reti bagi salam ke? Nasib baik saya tak ada penyakit lemah jantung, kalau ada nahas awak,” marah Aufa Darina. Dia menarik nafas, cuba bertenang. Degupan jantungnya sangatlah kencang saat ini.

“Lah, kalau awak ada penyakit lemah jantung, dah tentu awak akan pengsan. Takkan saya jadi tukang tengok pula, dah tentu saya akan dukung awak bawak pergi hospital. Takkan nak biar awak macam tu je.” Balas Izz dan menyudahkan sisa tawanya. Tidak tahu kenapa dia begitu suka pula menyakat gadis itu yang dari tadi tidak diketahui namanya.

Ei, malaslah saya nak cakap dengan awak. Buang masa saya je.” Jawab Aufa Darina yang sedang geram. Laju sahaja dia berpaling dan terus sahaja mengatur langkah meninggalkan jejaka itu. Berdongkol geram di hatinya dengan kelancangan mulut jejaka tersebut. Tidak tahu batasan jika mahu berlawak. Senang-senang sahaja mahu mendukung dirinya. Jejaka itu perlu dihantar ke pusat yang mengajar Fardhu Ain.

Izz hanya tersengih melihat telatah gadis itu. Hanya memerhatikan sahaja dia berlalu pergi. Aura apakah yang ada pada gadis itu hingga dia merendahkan diri bertegur sapa dengannya sedangkan dirinya yang sebelum ini bukan begitu. Hanya para gadis sahaja yang selalu menegurnya terlebih dahulu. Inikah yang dikatakan cinta pandang pertama? Dia kemudiannya turut melangkah pergi dengan soalan yang tiada jawapannya.

“Aufa, sinilah!” laung Sabrina sambil melambai-lambai tangannya sebaik ternampak kelibat teman barunya itu. Kelihatan temannya itu bergerak menuju ke arahnya.

“Penat saya cari awak tadi. Dahlah saya pun baru kat sini. Merata saya cari awak, tinggal tak buat pengumuman je. Boleh tahan laju juga awak berjalan Sabrina?” Kata Aufa Darina sedikit mengah.

“Aufa, maaf. Saya terlupa yang awak ikut saya dari belakang tadi. Nasib baik awak sampai lambat sikit kalau tak berjanggutlah awak tunggu kat kereta abang saya ni.” Keluh Sabrina. Hampir sepuluh minit dia menanti abangnya dikereta. Langsung tidak kelihatan bayangnya.

“Mana abang awak pergi?” soal Aufa Darina. Kasihan apabila melihat teman barunya itu sudah bermandi peluh. Sudahlah cuaca agak panas hari ini.

“Entahlah Aufa. Adalah tu ke mana-mana. Abang saya tu pantang sekali kalau nampak gadis yang berdahi licin.” Dalam rungutan Sabrina itu sempat lagi dia menambah perihal perangai buaya abangnya.

Ish awak ni Sabrina. Tak baik mengata abang awak macam tu.” Tegur Aufa Darina. Agak kurang selesa dengan kata-kata dari Sabrina.

“Awak tak kenal lagi dengan abang saya tu. Memang pun buaya tembaga, pendek kata abang segala buaya daratlah,” sebaik dia habis menuturkannya, Sabrina ketawa dengan agak kuat. Aufa Darina pula hanya mampu menggelengkan kepala.

Last edited by wipers81 on 3-5-2014 03:04 PM

Reply

Use magic Report

Post time 5-5-2014 08:09 AM | Show all posts
al kisahnya... teruskan menulis TT...
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 02:49 AM GMT+8 , Processed in 0.335194 second(s), 34 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list