KAJANG: Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merogol cucu tirinya yang berusia 15 tahun, minggu lalu. Tertuduh yang berusia 68 tahun membuat pengakuan itu di selepas jurubahasa membacakan pertuduhan dalam dialek Hokkien di hadapan Hakim Nor Hazani Hamzah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa di dalam bilik di sebuah rumah di Sungai Chua, dekat sini, pada jam 8.30 pagi, 3 Januari 2014.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siaw Chooi Chin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Mazhar Abdul Malek memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh sudah tua dan mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM18,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa sekiranya ingkar wang jaminan akan ditarik balik.
Tarikh sebutan ditetapkan pada 17 Februari ini.
http://www.hmetro.com.my/articles/Wargaemasdituduhrogolcucutiri/Article?mutakhir
|