Artikel urus niaga Felda dengan Israel, fitnah berniat jahat
KUALA LUMPUR 14 Feb. - Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad menganggap artikel berhubung dakwaan wujudnya urus niaga antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan Israel, bukannya pendedahan berunsur kepentingan awam sebaliknya suatu fitnah dan berniat jahat. Menurut Faizoull, 54, apabila berkata suatu dakwaan yang tidak betul maka perkara itu adalah fitnah. Beliau menyatakan demikian ketika disoal dalam pemeriksaan balas oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin pada perbicaraan kes saman fitnah Felda terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dan enam yang lain di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Prosiding yang didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong itu menjadi tegang seketika setelah Faizoull dikatakan merujuk kepada satu nota tanpa memohon izin daripada mahkamah. Jawapan Faizoull sebelum itu juga ditegur, kerana Mohamed Hanipa tidak berpuas hati apabila saksi pertama Felda itu menganggap Mazlan membuat dakwaan yang berunsur fitnah. Mohamed Hanipa berkata: "Fitnah atau tidak bukan kamu yang tentukan. Biar mahkamah putuskan." Faizoull juga menganggap soalan yang diajukan sama ada beliau ahli UMNO atau tidak, suatu yang tidak relevan dengan tindakan saman dikemukakan pihaknya. Tindakan Mohamed Hanipa mempersoalkan kredibiliti saksi pertama Felda itu membuatkan peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Felda, bangun sambil menyifatkan peguam terbabit keterlaluan. Suasana tegang itu membuatkan Heng Cheong mengarahkan Mohamed Hanipa dan Mohd. Hafarizam duduk. Mahkamah sehubungan itu mengingatkan supaya saksi mesti memohon kebenaran terlebih dahulu sebelum merujuk sesuatu dokumen. Menjawab soalan lain, Faizoull tidak bersetuju apabila Felda dikatakan menjalin hubungan perniagaan dengan Israel. Dalam keterangannya pada 18 Disember tahun lalu, Faizoull menyatakan, Felda tidak pernah menjual minyak sawit ke Israel dan invois yang 'didedahkan' adalah satu urus niaga daripada sebuah syarikat yang berpengkalan di Singapura dan bukannya syarikat Israel seperti yang didakwa. Dalam saman yang difailkan pada 7 Januari tahun lalu, Felda menamakan Mazlan dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman; Pengarang Harakah, Taufek Yahya; penulis artikel, Mohd. Arif Atan; pencetak akhbar itu, Angkatan Edaran ENT Sdn. Bhd., dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai defendan pertama hingga ketujuh. Felda menyatakan, saman itu difailkan ekoran ucapan Mazlan dalam satu perhimpunan haram di hadapan pejabat Felda pada 23 November 2012 yang turut disiarkan dalam Facebook beliau bertajuk, Bukti Felda jual minyak sawit mentah (MSM) ke Israel. Rentetan daripada itu, beberapa artikel berhubung isu urus niaga itu telah diterbitkan dalam Harakah antara 26 dan 29 November 2012 dan akhbar Suara Keadilan bertarikh 27 November 2012. Felda juga mendakwa, defendan pertama memfitnahnya pada 19 November 2012 kerana memuat naik satu gambar invois bersama kapsyen di Facebook miliknya bertajuk Bukti Felda jual minyak sawit mentah ke Israel. Perbicaraan bersambung 21 April depan.
|