Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar sesetengah orang Melayu kerana sanggup membunuh diri sesama sendiri atas perbezaan politik dan ideologi. Dalam rencana terbaru blognya, Dr Mahathir berkata Al-Quran tidak membenarkan umat Islam membunuh diri sendiri atau umat Islam lain hanya kerana perbezaan pendapat. "Orang Melayu sekarang sudah sanggup bunuh diri untuk ke syurga. Bukan sahaja itu, tetapi mereka juga sanggup bunuh orang Islam lain kerana kelainan politik atau ideologi.
"Orang yang dibunuh ini tidak menyerang negara kita dan rakyat kita. Kita tidak berada dalam keadaan tidak selamat kerana serangan oleh orang Islam yang tidak sebulu dengan kita," tulis beliau, dipercayai sebagai respon terhadap pendedahan mengenai rakyat Malaysia terlibat dalam kegiatan militan di Iraq dan Syria. Menurut Dr Mahathir, ulama Malaysia juga tidak mengeluarkan fatwa menyokong perbuatan umat Islam membunuh saudara Islam sendiri untuk mendapat ganjaran syurga. Katanya sekiranya fatwa demikian wujud, ia bakal menyaksikan ramai lagi membunuh saudara seagama y‎ang tidak bermusuh dengan golongan itu.
‎"Kita belum dengar ulama Malaysia memberi pendapat atau membuat fatwa berkenaan dengan perbuatan seperti ini. "Jika pendapat berkenaan bunuh diri, bunuh saudara seagama akan dapat balasan syurga, mungkin ramai lagi orang Melayu yang akan melilit bom dibadan dan meletupkannya supaya dapat membunuh ramai orang Islam lain yang tidak dikenali dan tidak bermusuh dengan mereka. Lebih 100 rakyat Malaysia dilaporkan ke Syria bagi menyertai perjuangan menentang regim Bashar al-Assad, menurut sumber polis Cawangan Khas kepada The Malaysian Insider. Akhbar The Star mendedahkan antara rakyat Malaysia yang terlibat dalam gerakan militan lebih dikenali sebagai perjuangan jihad ialah AJK Dewan Ulama PAS, Mohd Lotfi Ariffin. Lotfi diberitakan telah dipecat oleh PAS pada Mei lalu. Dr Mahathir juga menyeru ulama tempatan tampil dengan pendirian mereka mengenai umat Islam yang berbunuhan untuk ganjaran syurga. "Mungkin ada hadis yang menyuruh kita bermusuh sesama Islam. Tetapi saya belum jumpa. Jauh sekali dari menjadi syahid dengan membunuh diri untuk membunuh orang Islam lain. "Saya cuma ingin tahu pendapat ulama di Malaysia berkenaan syurga yang menanti mereka sebagai pejuang Islam," katanya. Katanya lagi, Allah benci kepada mereka yang suka mencetuskan huru-hara. "Quran menyuruh kita damaikan antara dua orang Islam jika mereka bermusuh. Jika mana-mana pihak menolak kedamaian barulah boleh pihak ketiga memihak kepada pihak yang menerima kedamaian. "Tetapi tidak ada firman Tuhan yang menyuruh kita meningkatkan permusuhan dengan memihak kepada mana-mana pihak," katanya. – 28 Jun, 2014.
Read here: https://my.news.yahoo.com/melayu ... a-dr-044750405.html
Last edited by GhostWalking on 30-6-2014 05:11 AM
|