Kuala Terengganu: Berang kerana isterinya mahu bekerja di Kuala Lumpur, seorang lelaki hilang pertimbangan apabila tergamak membaling mesin pengisar ke arah tengkuk isterinya itu sehingga cedera dan mungkin lumpuh dalam kejadian di Gong Badak, di sini, kelmarin. Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa yang berusia 30-an menghubungi abangnya jam 8 malam dan meminta mengambil anaknya di rumahnya.
Katanya, sebaik menerima panggilan itu, abang mangsa berusia 38 tahun dan tinggal di Kuala Berang, segera ke Kuala Terengganu untuk menjemput anak saudaranya. Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, anak mangsa menghubungi bapa saudaranya dan memaklumkan ibunya sudah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas bergaduh dengan bapanya.
Terkejut dengan kejadian menimpa adiknya, si abang segera ke HSNZ, Kuala Terengganu sebelum dinasihatkan pihak hospital membuat laporan polis memandangkan kecederaan dialami adiknya serius,” katanya.
Sumber berkata, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara suami isteri itu selepas mangsa dikatakan mahu bekerja di Kuala Lumpur.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai jurujual dikatakan berang dengan permintaan mangsa sebelum bertindak membaling mesin pengisar ke arah tengkuk mangsa sehingga cedera.
Mangsa yang mungkin lumpuh akibat kejadian itu masih dirawat di hospital sama,” katanya.
Susulan kejadian itu, abang mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada abang mangsa dan suspek sudah diberkas beberapa jam selepas laporan dibuat.
Sementara itu, Majistret Nurunaim Abdullah membenarkan suspek yang berusia 34 tahun direman empat hari bermula semalam sehingga 3 Julai depan untuk siasatan lanjut.
Read here:https://my.news.yahoo.com/aksi-ganas-terlampau-214220566.html
Last edited by GhostWalking on 1-7-2014 12:54 AM
|