|
SHAH ALAM - Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) percaya perang ekonomi dengan cara memboikot melalui bentuk urus niaga mampu memberi kesan bukan sahaja terhadap ekonomi Israel, malah negara-negara sekutunya.
Presiden Perdasama, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, pihaknya menyokong penuh seruan memboikot produk keluaran Israel dan syarikat-syarikat penyokong kekejaman Yahudi.
Beliau berkata, masyarakat Yahudi seluruh dunia kini membantu Israel dengan hasil keuntungan mereka, sedangkan rakyat Gaza terus diserang pada setiap hari.
Menurutnya, kekejaman dilakukan Israel jelas mendapat sokongan kuat dari sekutu Yahudi di seluruh dunia yang bukan sahaja mempertahankan tindakan rejim Zionis itu, malah turut membantu melalui sistem pertahanan di negara terbabit.
"Kita tak dapat laksanakan perang darah terhadap Israel, namun yakin kita mampu lancar perang ekonomi dengan memboikot produk mereka dan rakan sekutu mereka.
"Usaha boikot itu sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran dan tekanan kepada ekonomi negara tersebut dan kroninya," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, jika rakyat Malaysia terus membeli dan menggunakan produk serta perkhidmatan mereka (Israel dan sekutu), ia sedikit sebanyak menyokong dana dalam memusnahkan mereka yang tidak berdosa seperti anak-anak kecil dan warga tua di Palestin.
Moehamad Izat berkata, seluruh rakyat Malaysia perlu memboikot semua barangan keluaran Israel dan Yahudi bukan sahaja makanan dan minuman, malah barangan perubatan, kosmetik, penerbitan, tekstil, alat hospital, perkhidmatan serta apa sahaja yang berkaitan.
"Dunia kini mampu membekalkan apa sahaja yang dikeluarkan Israel, oleh itu ianya bukannya menjadi masalah besar untuk kita mencari sumber lain bagi menggantikannya," katanya.
Last edited by piao on 5-8-2014 03:56 PM
|
|