DAP kena cermat, tak perlu desak Presiden PAS MUHAMMAD FAIZAL | 13 November 2014. KUALA LUMPUR: PAS meminta DAP cermat dalam membuat kenyataan lebih-lebih lagi berkait dengan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ketua Penerangannya Datuk Mahfuz Omar berkata, DAP tidak wajar untuk mendesak Presiden PAS hadir ke mesyuarat lebih-lebih lagi ia dibuat secara terbuka.
"Saya harap rakan-rakan dalam DAP harus berhati-hati membuat kenyataan, mereka tidak boleh menggesa untuk Tuan Guru Abdul Hadi hadir mesyuarat.
"Sudah tentu ketidakhadiran Presiden PAS itu atas faktor kesihatan.
"PAS sendiri tidak pernah menggesa Lim Guan Eng agar hadir mesyuarat walaupun kita tahu beliau pun tidak hadir kerana mungkin beliau ada sebab tertentu," katanya di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan berterusan DAP supaya Tuan Guru Abdul Hadi Awang menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.
Terbaru Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang bermesyauarat kelmarin, sekali lagi membuat gesaan tersebut.
Malah, Guan Eng berkata, kehadiran Presiden PAS itu dalam mesyuarat tersebut adalah wajib kerana beliau adalah pemegang kuasa tertinggi yang boleh membuat keputusan dalam PAS.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali semalam telah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha organisasi DAP Anthony Loke bagi menyelesaikan isu berbangkit tersebut-HARAKAHDAILY 13/11/2014
|