Slim River: Selepas kejadian seorang kanak-kanak ‘ghaib’ dua tahun lalu, penduduk di Kampung Lintah Piong, dekat sini, kini digemparkan pula dengan berita seorang warga emas menerima nasib sama.
Mangsa, Aton Manaf, 81, kali terakhir dilihat bersiar-siar di keliling kampung pada hari Jumaat lalu namun selepas itu mangsa terus hilang tanpa khabar berita dan tidak pulang ke rumah.
Berikutan itu gerakan mencari mangsa membabitkan Unit K-9 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) serta penduduk kampung dijalankan pagi kelmarin dan diteruskan sehingga lewat petang semalam, namun usaha menemui mangsa belum berhasil.
Anak lelaki mangsa, Baharom Ahmad, 55, berkata, ibunya tinggal bersama dua anaknya, Baharudin Ahmad, 68, dan Saritah Normah Chik, 25,dan selalu keluar mengunjungi rumah rakan dan saudara di kawasan kampung setiap hari.
Katanya, biasanya ibu pulang atau dihantar pulang ke rumah tetapi kali ini luar biasa apabila tidak pulang menyebabkan dia bimbangan keselamatan ibunya yang sudah tua serta nyanyuk itu.
“Saya mencari di keliling kawasan kampung dan pergi ke rumah saudara-mara termasuk memohon bantuan penduduk kampung untuk mencari ibu saya namun gagal.
“Saya memang risau dengan keselamatan ibu berdasarkan fizikalnya yang agak uzur sekarang ini dan saya berharap dia selamat serta bersyukur dengan sokongan daripada semua pihak termasuk orang kampung sudah dua hari membantu keluarga saya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 7:38 AM
«»
PENDUDUK kampung turut serta dalam operasi mencari di Kampung Lintah Piong, semalam.
http://www.hmetro.com.my/node/16516
|