|
KUALA LUMPUR - Korea Selatan hari ini menyumbang AS$100,000 (RM360,029) kepada Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) sebagai bantuan kemanusiaan berikutan banjir yang melanda negara baru-baru ini.
IFRC dalam satu kenyataan berkata Menteri dan Konsul Jeneral/Timbalan Ketua Misi Kedutaan Korea Selatan di Malaysia, Yoon Changyul, menyerahkan surat niat mengenai bantuan itu kepada ketua operasi IFRC untuk Asia Pasifik, Martin Faller, dalam satu majlis di pejabat IFRC di sini.
Dana itu akan digunakan untuk menyokong operasi bantuan yang dijalankan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), termasuk penghantaran segera penapis air bagi menyediakan air minuman bersih kepada penduduk Kampung Pasir Tumboh di Kelantan.
Katanya, barangan bantuan bukan makanan juga akan dikeluarkan dari gudang serantau IFRC di Klang bagi memenuhi keperluan komuniti yang sebelum ini tidak boleh diakses akibat banjir.
Pada minggu pertama Januari tahun ini, PBSM telah menghantar 120 tan barang bantuan termasuk 10,000 selimut untuk penduduk di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, kata IFRC.
Sejak bermulanya banjir, pejabat IFRC Zon Asia Pasifik bekerjasama rapat dengan PBSM dalam menyediakan sokongan teknikal ketika fasa bantuan kecemasan serta membantu pembiayaan kecemasan menerusi Tabung Kecemasan Bencana. - Bernama
|
|