Pesawat AirAsia X Ke Jeddah Berpatah Balik Kerana Masalah TeknikalDiterbitkan: Ahad, 8 Februari 2015 6:41 PM
Imej FlightRadar menunjukkan laluan pesawat itu mengelilingi ruang udara Selat Melaka.
(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Pesawat AirAsia X dalam penerbangannya ke Jeddah pada Ahad terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur kerana mengalami masalah teknikal. Pesawat itu terpaksa menghabiskan masa kira-kira empat jam mengelilingi Selat Melaka untuk membakar bahan apinya bagi membolehkan ia mendarat dengan selamat. Pesawat itu yang berlepas pada kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu bagaimanapun mendarat selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada kira-kira pukul 5.40 petang. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pesawat AirAsia X penerbangan D7172 mengalami "masalah teknikal" sejurus selepas berlepas dari KLIA2. Juruterbang terpaksa berpatah balik semula ke lapangan terbang.
Liow berkata, insiden tersebut sedang disiasat. "Saya dimaklumkan bahawa kesemua mereka yang menaiki pesawat itu selamat. Juruterbang terpaksa terbang selama empat jam untuk membakar bahan api bagi membolehkan pesawat itu lebih ringan untuk mendarat dengan selamat," kata Liow. AirAsia X dalam satu kenyataan mengenai Penerbangan D7172 berkata: "Sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan dan mematuhi semua piawaian keselamatan antarabangsa, pesawat itu berpatah balik dan mendarat selamat di KLIA2 pada pukul 5.40 petang." "Kesemua penumpang yang menaiki pesawat itu kini dipindahkan ke pesawat lain di mana penerbangannya dijadualkan pada pukul 7 petang hari ini," katanya.
|