Jenaka, gurauan dan sindiran, atau satira, kini bukan lagi boleh dijadikan bahan ketawa apabila Putrajaya mengetatkan lagi undang-undang hasutan bagi mengawal pandangan berbeza dan komen melalui Internet.
Pindaan Akta Hasutan 1948 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 9 April itu juga memaksa saluran berita satira lebih berhati-hati menjadikan ahli politik dan badan kerajaan sebagai bahan gurauan mereka.
Salah satu daripadanya, Fake Malaysia News (FMN), mengakui mereka kini lebih berhati-hati dengan cara penulisan berita palsu secara sindiran, selepas undang-undang terhadap laman berita dan penggunaan media sosial semakin ketat "Kami cuba supaya bahan lawak kami tidak menampakkan seolah-olah ayat itu datang secara langsung dari mulut seseorang ahli politik.[size=43.5799407958984px]
"Sebaliknya kami kini menggunakan lebih banyak 'jurucakap' tanpa nama atau rekaan untuk membuat komentar dan gurauan bagi menyampaikan mesej yang sama, dengan harapan kami selamat daripada dikenakan tindakan undang-undang," kata pengasas FMN yang hanya mahu dikenali sebagai Adam, kepada The Malaysian Insider.
Katanya, setiap orang kini lebih cermat dan penerbit kandungan perlu lebih bertanggungjawab terhadap setiap bahan di atas talian.
"Kami tak boleh bercakap bagi pihak orang lain, tetapi di FMN, kami meletakkan penafian (disclaimer) di merata tempat supaya pihak berkuasa sedar kami tidak ada agenda lain kecuali ingin membuat lawak," kata Adam.
Pindaan Akta Hasutan termasuk memberi kuasa kepada mahkamah mengharamkan pengedaran penerbitan yang dianggap menghasut.
Selain itu, mana-mana penerbitan yang boleh membawa mudarat kepada tubuh badan atau harta benda, atau dilihat menimbulkan niat jahat, permusuhan dan kebencian antara kaum dan agama, juga dianggap menghasut.
Mahkamah juga boleh mengarahkan pihak berkuasa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia memadam bahan hasutan atas talian yang dimuat naik individu yang tidak dikenalpasti.
Pindaan akta ini mengundang kritikan peguam dan ahli politik pembangkang yang menganggapnya sebagai "serangan" terhadap kebebasan bersuara dalam masyarakat demokratik.
"Tahap apa yang dikatakan hasutan itu rendah dan ini sudah memadai untuk mahkamah membenarkan permohonan dari peguam kerajaan," kata peguam hak sivil Syahredzan Johan.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian memberi amaran kepada Putrajaya mengenai bahaya mengenakan kawalan ketat sedemikian terhadap laman web, kerana ia akan akhirnya menyebabkan rakyat sangsi dengan keupayaan kerajaan berhujah secara bijak mempertahankan pandangannya.
"Jika mereka didiamkan atau disekat, ia akan menghadkan orang ramai melontarkan pandangan dan boleh menyebabkan hilang minat terhadap proses politik.
"Jika undang-undang itu digunakan untuk menekan mereka, ia akan memberi mesej bahawa kerajaan berasa tidak selamat dan tidak berupaya berhujah menjawab isu secara bijak.
|