|
Dua beradik ini dikawal anggota Kastam ketika masuk ke mahkamah untuk berdepan tuduhan, semalam.
[url=]
[/url]
KOTA BHARU - Adik-beradik lelaki dari Melor menjadi pasangan pertama berdepan tuduhan menyimpan mercun untuk Ramadan kali ini di mahkamah majistret, di sini, semalam.
Tertuduh, Mohd Shahrul Irman Saidi, 23, dan Mohd Syahrul Fais, 21, bagaimanapun mengaku tidak salah di hadapan Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed.
Mereka didakwa bersama-sama menyimpan 13 kotak mercun pelbagai jenama dan sebungkus mercun bola dengan jumlah berat 11.4 kilogram bernilai RM228, di sebuah rumah di Kampung Padang Luas Alor Bakat, Melor, di sini, pada jam 1.50 petang, 25 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Karthy Gasedev dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan.
Pada prosiding sama, mereka juga didakwa bersama-sama menyimpan 132 paket rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM8,627.28 pada masa, tarikh dan tempat sama.
Mohamad Nasrudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 setiap seorang dan menetapkan 4 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang peniaga, Samsu Kadir, 44, dari Kampung Seligi, Pasir Puteh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin terhadap pertuduhan menyimpan rokok seludup bernilai RM602.40.
Tertuduh didakwa menyimpan 51 karton rokok jenama Minna dan Premium di dalam sebuah kereta Perodua Myvi di hadapan sebuah rumah di Jalan Kuala Krai, Kadok, Ketereh, di sini, pada jam 6.30 pagi, 13 Julai 2012.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 9 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/dua-beradik-pasangan-pertama-kes-mercun-1.406406
|
|