Pertemuan tertutup Najib dengan pimpinan UMNO negeri Satu pertemuan tertutup dijangka berlangsung pada petang ini di antara pimpinan UMNO negeri bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak di kediaman rasmi Seri Perdana.
Beberapa kenderaan dengan nombor plat Menteri Besar kelihatan memasuki kediaman rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak 5 petang tadi.
Ia sekaligus menjawab desas desus perjumpaan Najib yang juga Presiden UMNO dengan semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri ke kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya.
Kesemua mereka termasuklah tujuh Menteri Besar dan dua Ketua Menteri yang dijangka berkumpul di kediaman Najib pada pukul 5.30 petang untuk menghadiri taklimat politik.
Tinjauan Astro Awani mendapati antara kenderaan rasmi Menteri Besar termasuk dari Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka.
Beberapa kereta plat "Menteri" juga kelihatan memasuki Seri Perdana.
Selain itu, beberapa kenderaan dengan nombor plat dari Sabah dan Johor juga dilihat memasuki perkarangan itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim turut ditemui sebelum memasuki pintu kediaman Najib.
Ditanya pemberita apa yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, jawab beliau "Macam-macam."
Difahamkan isu rombakan Kabinet yang menyaksikan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan dan pelantikan Peguam Negara yang baharu akan dibincangkan.
|