|
matawang jatuh akan meningkatkan aktiviti eksport...pelancongan....
Yuan alami kejatuhan terbesar dalam dua dekad
12 Ogos 2015 1:13 AM
Yuan jatuh sekitar dua peratus kepada 6.3360, paras paling rendah dicatatkan sejak September 2012 dan penurunan terbesar sejak mata wang berkenaan dinilai semula pada 1994.
LONDON 11 Ogos – Yuan mengalami kejatuhan terbesar dalam tempoh lebih dua dekad, selepas Bank Pusat China menurunkan nilainya sebanyak dua peratus, tindakan yang disifatkan oleh kebanyakan penganalisis membawa kepada perang mata wang.
Bank pusat tersebut menyifatkan tindakan itu sebagai ‘sekali susut nilai’ dan menjadikannya pembaharuan pasaran bebas, namun pakar ekonomi menganggap langkah tersebut untuk mengukuhkan kembali daya saing China, ekonomi kedua terbesar dunia, yang mengalami kemerosotan aktiviti eksport lebih lapan peratus bulan lalu.
Langkah Bank Pusat China itu turut menjejaskan mata wang wang-mata wang negara yang ber dagang dengan China seperti dolar Australia dan New Zealand masing-masing susut tiga peratus dan satu peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Manakala yen Jepun turut terjejas apabila berada pada paras terendah dalam tempoh dua bulan.
Ketua Penyelidik Mata Wang BNY Mellon, Simon Derrick berkata, penurunan tersebut dilihat usaha China untuk mendapatkan kembali kelebihan daya saing dalam pasaran antarabangsa.
“Sekiranya kita mempunyai mata wang yang bergerak secara lebih bebas tidak mengapa, tetapi bagaimana jika ia memberikan tindak balas yang negatif, ia akan mencetuskan perang mata wang,” katanya.
Nilai ‘pertengahan’ yuan berbanding dolar AS telah ditetapkan pada paras 6.2298, berbanding 6.1162 semalam.
Yuan jatuh sekitar dua peratus kepada 6.3360, paras paling rendah dicatatkan sejak September 2012 dan penurunan terbesar sejak mata wang berkenaan dinilai semula pada 1994. Yuan telah ‘dikunci’ bagi sesi dagang sejak Mac lalu, menyebabkannya berubah hanya sekitar 0.3 peratus.
Sementara itu, Pakar Strategi Kanan Monex, Masafumi Yamamoto berkata, bimbang dengan kelembapan ekonomi, penilaian semula yuan merupakan tindakan yang belum pernah diambil oleh China selepas melaksanakan dasar kewangan, fiskal dan ekuiti.
“Penurunan nilai yuan mungkin tidak berakhir di sini. Mata wang seperti dolar Singapura, Won Korea dan dolar Taiwan yang bersaing dengan China, turut jatuh dan langkah hari ini mungkin menandakan bermulanya perang penurunan mata wang,” katanya. – Reuters
|
|