
FILEM televisyen bersiri Quantico memulakan tayangan pertamanya di saluran AXN 701 dan AXNHD 721 pada 28 September, selama sejam bermula pukul 10.00 malam.
Quantico yang bergenre terrorism thriller dikatakan bakal menjadi obsesi baru para penonton seluruh dunia. Siarannya di sini serentak pada hari sama siaran di Amerika Syarikat.
Yang menariknya, Quantico menampilkan aktres terkenal Bollywood, Priyanka Chopra sebagai teraju utama. Memegang watak pelatih FBI bernama Alex Parrish, aktres berusia 33 tahun itu dilihat menyerlah.
“Memegang watak utama dalam Quantico merupakan satu pengalaman baru yang sangat berharga. Inilah yang saya cari selama ini.
“Saya beruntung kerana Quantico turut dibarisi aktor dan aktres berkaliber di samping pasukan produksi yang hebat.
“Saya sangat teruja semasa masuk lokasi episod pertama dan seterusnya banyak ilmu dipelajari.
“Sebagai pelakon, sudah tentu saya sentiasa inginkan cabaran berat agar lebih menyuntik semangat juang dalam dunia lakonan,” kata Priyanka kepada wartawan dalam satu temu bual khas mengenai penglibatannya dalam Quantico, baru-baru ini.
Quantico juga dibintangi Jake McLaughlin sebagai Ryan, Aunjanue Ellis (Miranda), Yasmine Al Massri (Nimah Amin), Johanna Braddy (Shelby), Tate Ellington (Simon) dan Graham Rogers (Caleb).
 Barisan pelakon siri Quantico.
Siri ini berkisar tentang sebilangan pelatih muda FBI di pangkalan latihan Quantico, Virginia, Amerika Syarikat.
Mereka adalah anggota pilihan terbaik yang bijak dan perlu mengharungi pelbagai latihan ketat dalam usaha melengkapkan diri menjadi anggota FBI yang tidak berpaling tadah. Setiap pelatih digambarkan mempunyai kisah silam yang disembunyikan.
Namun tanpa diketahui, salah seorang daripada pelatih FBI itu adalah pengganas yang bertanggung jawab atas serangan terhadap Amerika Syarikat sejak tragedi 9/11.
Siri ini digarap oleh Josh Safran, merangkap penerbit eksekutif. Beliau sebelum ini pernah terlibat dalam pembikinan siri popular Gossip Girl dan Smash. Quantico merupakan siri terbaru milik stesen televisyen ABC.
“Quantico adalah siri menarik dan menghiburkan. Saya telah mempersiapkan diri cukup lama sebelum masuk ke lokasi penggambaran.
“Saya belajar memahami kerja-kerja FBI. Lebih penting saya turut belajar cara mengendalikan senjata api,” ujarnya.
Priyanka lahir pada 18 Julai 1982. Beliau memulakan kerjaya lakonan menerusi filem Tamil, Thamizhan pada 2002 sejurus meraih gelaran Miss World 2000.
Tahun berikutnya, beliau membuat debut filem Bollywood berjudul The Hero: Love Story Of A Spy dan diikuti dengan filem yang meledakkan namanya, Andaaz. Dari filem ini beliau memenangi anugerah Filmfare Best Female Debut.
Priyanka membina jenama namanya sebagai antara aktres papan atas Bollywood melalui beberapa filem komersil antaranya, Mujhse Shaadi Karogi (2004), Krrish (2006) dan Don: The Chase Begins Again (2006).
Pada 2008, beliau meraih National Film Award untuk Best Actress, serta Filmfare Award untuk Aktres Terbaik bagi peranannya dalam Mode. Filem popularnya yang lain ialah Krrish 3 (2013), Agneepath (2012) dan Don 2 (2011).
 Salah satu babak lakonan Priyanka sebagai Alex Parrish dalam Quantico.
-manggaonline-
|