OTTAWA – Pemimpin muda Parti Liberal, Justin Trudeau (gambar) menang mengejut dalam pilihan raya umum Kanada kelmarin dan menamatkan pemerintahan sembilan tahun kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Stephen Harper, lapor laman berita ABC.
Media tempatan semalam bersiap-sedia untuk mengumumkan pemimpin berusia 43 tahun itu sebagai Perdana Menteri Kanada ke-23.
Keputusan terkini mendapati Trudeau dan Parti Liberal akan membentuk kerajaan majoriti sekali gus pencapaian besar berbanding pilihan raya pada 2011 apabila Parti Liberal cuma menang 34 kerusi.
“Rakan-rakan semua, kita mengatasi ketakutan dengan harapan. Kita menukar kesangsian dengan kerja keras,” kata Trudeau kepada para penyokongnya di Montreal.
Beliau merupakan anak lelaki Pierre Trudeau yang mentadbir Kanada dari 1968 hingga 1979 dan sekali lagi pada 1980 hingga 1984.
Trudeau memimpin Parti Liberal untuk memperoleh kemenangan besar di Quebec sekali gus memecahkan dominasi parti-parti politik prokemerdekaan.
Quebec menggunakan bahasa Pe-rancis dan bukan Inggeris seperti negeri-negeri lain.
Parti itu turut meraih kemenangan besar di semua negeri di barat Kanada.
Dalam pada itu, Presiden Parti Konservatif, John Walsh berkata, Harper akan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua parti itu.
Mengulas kemenangannya, Trudeau berkata, beliau akan memulihkan hubungan dingin Kanada Amerika Syarikat, mengundurkan misi tentera Kanada terhadap kumpulan Islamic State dan menangani isu perubahan iklim. - Agensi Sumber
KUALA LUMPUR, 20 Oktober:
Dengan rangkaian sosial yang sibuk dengan ucapan ke atas Perdana Menteri Kanada yang baru, Justin Trudeau, tinjauan carian di Internet membongkar sebuah siri lama televisyen yang mengesan latar belakang keluarganya yang membawa sinar hubungan dengan Malaysia.
Justin dari Parti Liberal, yang merupakan anak lelaki bekas Perdana Menteri Kanada, Pierre Trudeau mengalahkan Stephen Harper dari Parti Konservatif yang mengetuai negara ini selama hampir satu dekad, dalam pilihan raya di negara ini, semalam.
Antara fakta menarik tentang Justin, selain menjadikannya sebagai Perdana Menteri pada usia 43, dia mempunyai salasilah keturunan yang berasal dari Singapura dan Malaysia.
Sebelum ini, dalam siri televisyen Who Do You Think You Are, antara episod itu mendedikasikan untuk mencari sejarah keluarga ibu Justin, Margaret.
Ia didedahkan dalam episod siri televisyen CBC bahawa keturunan Margaret ada hubung kait dengan salah seorang pengasas awal Singapura, William Farquhar.
Episod itu juga menjelaskan isteri Farquhar adalah anak perempuan kepada seorang wanita warga Malaysia dan seorang pegawai Perancis.
Anak perempuan Farquhar, Esther Bernard, kemudian berkahwin dengan Francis James Bernard di Singapura dan menetap di sana sehingga kematiannya pada usia 41.
Walau bagaimanapun, tiada maklumat mengenai nenek Esther, wanita Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga turut mengucapkan tahniah kepada Justin.
“Tahniah kepada Perdana Menteri Kanada baru, JustinTrudeau. Saya berharap untuk mengukuhkan hubungan dua hala.” Source