Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan memiliki senjata api tiruan tetap kesalahan undang-undang walau atas apa alasan sekalipun.
"Saya ingin ingatkan sesiapa juga jangan jadikan apa-apa alasan untuk miliki senjata api tiruan kerana ia tetap salah dari segi undang-undang," katanya. Beliau mengulas penahanan seorang vokalis kumpulan terkenal era 90-an kerana memiliki senjata api tiruan di Sentul di sini awal pagi semalam. Dia dibebaskan petang semalam.
Penyanyi berusia 40-an itu dilaporkan berkata pistol itu hanyalah mainan untuk menembak cicak di rumah dan tidak menyedari menjadi kesalahan untuk memiliki pistol mainan. "Polis akan menjalankan siasatan lanjut di bawah Akta Senjata Api 1960," kata Khalid selepas menghadiri Dialog Keselamatan Antarabangsa
Putrajaya yang pertama di sini, hari ini, yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Khalid berkata apa yang dijelaskannya itu bukan perkara baharu dan orang ramai sepatutnya memberi perhatian. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 7:36 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/87309#sthash.nToNtIXq.dpuf
|