|
Oleh Adib Za
Tiba-tiba buku motivasi berjudul Hebatnya Bangun Awal Pagi keluaran syarikat PTS menerima impak yang tidak disangka-sangka di laman sosial.
Ini berikutan cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menyarankan rakyat bangun lebih awal ke tempat kerja dan lalu di jalan alternatif.
Isu tol dan bangun pagi ini, nampaknya menjadi troll di mana-mana, meskipun ramai yang membangkang namun dalam masa sama menyindir dan dijadikan bahan jenaka.
Namun, dari segi satu sudut positif, ia sebenarnya memberi banyak kelebihan. Mungkin bukan dari segi kadar tol, namun aspek yang lain seperti spiritual dan sikap seseorang.
Buku Hebatnya Bangun Pagi ini nampaknya berlegar-legar di kebanyakan 'dinding' laman sosial selepas isu berbangkit ini menjadi bualan netizen, meskipun ia telah diterbitkan lebih awal iaitu pada tahun 2014.
"Hikmah berpagi-pagian cukup banyak kepada siapa yang melaziminya. Apabila kita memulakan hari pada awal pagi, bermula dengan qiamullail, solat subuh, kemudian diikuti dengan aktiviti-aktiviti harian yang lain, kehidupan kita lebih tersusun dan tenang.
"Berbanding dengan orang yang bangun lambat, bukan sahaja meninggalkan solat subuh, malah turut terlepas melakukan kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan. Alangkah rugi.," begitulah antara sinopsis yang dipaparkan untuk buku ini.
Buku tulisan Muhammad Suhadi itu, antara lainnya memberikan suntikan spiritual dan kebahagiaan yang bakal diperoleh oleh mereka yang melazimi bangun awal pagi. Dan dia menekankan bukan sahaja bahagia di dunia, namun juga akhirat.
Di laman web PTS, buku ini dijual dengan harga istimewa iaitu hanya RM12 sahaja. Mungkin bagi anda yang gemar merungut dan berkeluh kesah, apa kata cuba membaca cebisan idea yang terkandung dalam buku ini.
Memang tak dapat selesaikan masalah kadar tol, namun sedikit sebanyak menjadi panduan untuk kita memperbaiki diri dari pelbagai sudut. Semoga dipermudahkan. - CARI Infonet |
|