|
Semenjak di awal kemunculan penyanyi Firman menerusi #AF2014, dia dikenali dengan imej rambut panjang paras bahu.
Namun begitu, menerusi minggu pertama program realiti #JuaraParodi yang bersiaran Jumaat lalu, Firman tampil dengan penampilan baru iaitu dengan rambut yang lebih pendek dan kemas.
Bertemu dengan juara #AF2014 usai program #JuaraParodi, Firman menjelaskan yang dia memotong rambut kerana ingin menunaikan nazarnya.
"Selepas selesainya program #AF2014, saya sendiri telah bernazar untuk tampil dengan imej rambut pendek sekiranya saya muncul dengan album pertama.
"Alhamdulillah, album pertama saya berjudul Kau Yang Satu telah dilancarkan baru-baru ini dan saya telah menunaikan nazar saya dengan memotong rambut," jelas Firman kepada Portal Murai.
Menerusi album sulungnya itu, Firman tampil dengan enam buah lagu yang berkonsepkan modern rock dan pop.
"Saya bekerjasama dengan komposer seperti Datuk M. Nasir, Edry Abdul Halim, Omar K, Al Farabi Band dan Azlan & The Typewriter. Saya juga ada mencipta sebuah lagu dalam album saya yang berjudul Kau Yang Satu," kata Firman lagi.
Bersyukur kerana buah tangan sulungnya kini muncul menemui peminat, Firman berharap agar semua pendengar muzik dapat menerima album pertamanya.
"Saya berharap agar kehadiran album sulung saya, Kau Yang Satu dapat diterima oleh peminat dan penggemar muzik di luar sana," kata Firman mengakhiri perbualan.
|
|