Edited by alfida at 15-11-2015 10:35 AM
Pekerja feri cedera dibelasah 11 penumpang
14 November 2015 1:34 AM
SEKUMPULAN penumpang membelasah pekerja feri yang meminta mereka beredar kerana feri hendak merapati pelabuhan di Pulau Pinang, kelmarin.
PULAU PINANG 13 Nov. – Gara-gara menegur sekumpulan penumpang supaya beredar kerana feri hendak merapat di pelabuhan, seorang pekerja lelaki diserang bertubi-tubi sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam, mangsa yang berusia 38 tahun ketika itu hendak membuka pintu deck bahagian bawah feri dan mengarahkan 11 orang lelaki yang berada di situ supaya kembali ke kenderaan masing-masing.
Menurut sumber, salah seorang lelaki berkenaan tidak berpuas hati dan terus bertindak menolak mangsa sehingga terkena badan seorang lagi lelaki lain dalam kumpulan sama.
“Lelaki itu yang berang kemudian memukul pekerja itu sebelum rakan-rakannya yang lain turut berbuat demikian sehingga mangsa terpaksa melarikan diri ke bilik rehat,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kesemua suspek kemudian mengejar mangsa sehingga ke bilik berkenaan dan ada yang turut membawa topi keledar sebagai senjata untuk memukul mangsa. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalalthrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, serangan berkenaan menyebabkan mangsa yang berasal dari Seberang Perai Selatan cedera pada bahagian muka selain patah tulang rusuk kiri. “Ketika mangsa diserang, orang awam dan krew lain yang bertugas tidak berani membantu kerana suspek bertindak agresif,” katanya.
Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati suspek menggunakan kereta Perodua Alza dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/ ... thash.3TVPO1RJ.dpuf
|