Port Dickson: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan mengeluarkan surat kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan mengenai permohonan lesen mengadakan pesta ria bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dijalankan terlebih dahulu.
Ketua Penolong Pengarah JKKP negeri, Norlinda Nasidin, berkata surat itu akan dihantar dalam tiga hari kepada semua PBT.
"Seharusnya setiap jentera yang digunakan bagi tujuan hiburan itu perlu melalui pihak kami agar pemeriksaan terperinci dapat dijalankan. Selepas mendapati jentera itu menepati ciri dan piawaian, barulah kelulusan diberikan," katanya.
Beliau ditemui selepas melawat lokasi jentera permainan kerusi terbang yang tumbang di PD Waterfornt, hari ini.
Dalam kejadian 11.30 malam kelmarin, seorang wanita berusia 21 tahun dan dua lelaki masing-masing 35 dan 17 tahun cedera apabila kerusi terbang atau 'flying chair' tumbang dipercayai berpunca kegagalan strukur bawah platform buaian itu.