|
ISLAMABAD: Seorang lelaki Pakistan terbunuh selepas dilanggar kereta api ketika cuba mengambil gambar 'selfie' berlatar belakangkan tren, di bandar Rawalpindi, hari ini. Mengikut pihak berkuasa, Jamshed Khan, 22, yang juga seorang pekerja jabatan kereta api merakamkan gambar itu menggunakan telefon miliknya dengan berdiri atas landasan di depan kereta api yang bergerak laju. "Jamshed Khan, seorang penduduk kawasan Dhok Ratta di bandar Rawalpindi maut selepas dilanggar kereta api ketika mengambil gambar selfie di depan tren," kata pegawai kanan jabatan penyelamat, Deeba Shahnaz.
"Dia terbunuh di tempat kejadian," tambahnya. Seorang anggota polis di balai polis tempatan mengesahkan kematian itu tetapi berkata bapa Khan tidak mahu mengaku anaknya mati ketika mengambil gambar selfie. "Bapa Jamshed Khan, Muhammad Pervez dalam kenyataan berkata, anaknya mati dalam kemalangan ketika melintasi landasan," kata polis itu sambil menambah Khan adalah seorang pembantu jabatan kereta api. - AFP
|
|