KUALA LUMPUR: Pelbagai dugaan ditempuh Malaysia sepanjang tahun 2015 baik di peringkat domestik mahupun luar negara meliputi isu-isu seperti kejatuhan harga minyak dunia serta ekonomi China, ancaman pengganas IS, dan terbaru pembunuhan warganegara Bernard Then oleh pengganas Filipina.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga sedar implikasi daripada masalah ini akan terpalit kepada rakyat yang juga kini dihimpit masalah peningkatan kadar kos sara hidup.
"Keselesaan dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi menjadi pertimbangan sebelum sesebuah polisi dibentuk. Saya sedar ramai yang dihimpit dengan kenaikan harga barang dan bimbang dengan pekerjaan yang menjamin masa depan keluarga dan anak-anak.
"Kerana itu pada pembentangan Bajet lepas kerajaan menurunkan kadar cukai keluarga berpendapatan sederhana, meningkatkan gaji minimum dan menyalurkan BR1M kepada mereka yang memerlukan," katanya dalam ucapan Tahun Baru Perdana Menteri di blog najibrazak.com hari ini.
Menyentuh isu 1MDB, Najib menjelaskanpelan rasionalisasi berjalan dengan lancar termasuk pemeteraian perjanjian baru bersama Iskandar Waterfront Holdings dan China Railway Engineering Corporation (IWC-CREC) yang akan mengurangkan kadar hutang sehingga RM7.1 bilion.
"Dan kini jelas bahawa cabaran utama 1MDB sudah diselesaikan sepertimana yang saya janjikan pada musim panas lepas, dan kini yang tinggal adalah memeterai perjanjian tersebut dan peringkat akhir pelan rasionalisasi 1MDB akan lengkap," tambah beliau.
Katanya, keharmonian negara adalah penting bagi kerajaan untuk meningkatkan ekonomi negara dan rakyat perlu memainkan peranan dengan tidak memainkan isu-isu sensitif yang boleh merosakkan masa depan negara.
"Untuk melakukan perkara tersebut, kita perlu mengukuhkan integriti dan ketelusan mendukung sistem demokrasi," katanya.
Kata Najib, sasaran negara pada 2016 adalah untuk mengekalkan keharmonian, perpaduan dan keadilan kepada rakyat sungguhpun tindakan yang bakal diambil itu merupakan tindakan tidak popular.
"Sekiranya dapat meletakkan perbezaan dibelakang dan menyerap semangat baru menyatukan kita sebagai rakyat negara yang kita cintai, saya pasti tahun 2015 akan menjadi tahun kita boleh mara bersama dengan yakin, bersatu emnuju masa depan.
"Saya ingin mengucapkan kepada semua rakyat Malaysia Selamat Tahun Baru dan sentiasa bergembira," kata Najib lagi.
-mD
|