Seorang gadis yang terlalu rindukan bapanya yang telah meninggal dunia 3 tahun yang lalu, telah melakukan sesuatu yang sangat indah sebagai tanda kasih sayang kepada bapanya itu.
Pada 14 Februari, maka genaplah 3 tahun bapa kepada Sarah Chrisya meninggalkannya selama-lamanya.
Bapanya pernah mengunjungi Melbourne pada tahun 2011 bersama ibunya. Banyak gambar kenangan yang diambil dan meninggalkan kesan kepasa Sarah. Oleh itu, selepas habis pengajian, Sarah mengambil keputusan untuk mengambil gambar di sekitar Melbourne yang pernah dirakamkan oleh bapanya.
Dia mengambil masa sebulan untuk mengunjungi lokasi yang pernah dijejaki oleh bapanya itu. Apa yang dilakukannya ialah, Sarah mengulang pose yang sama dengan bapanya, di lokasi yang sama!
Dengan meniru pose di lokasi yang sama ini memberi makna tersendiri buat Sarah. Ujarnya, waktu dahulu dia tidak pernah menghargai saat berjalan-jalan dengan bapanya.
Kini, dengan bergambar dengan pose yang sama, lokasi yang sama, seolah-olah mereka telah bertemu dan bergambar dalam gambar yang sama! - CARI Infonet