Kelantan waspada hadapi UKM FC
KELANTAN mengambil pendekatan lebih berwaspada apabila menanti kunjungan UKM FC dalam aksi pusingan kedua kempen Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok. Ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi atau dikenali Piya mengakui kelab yang beraksi dalam pertandingan Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu penuh misteri dan mampu mencipta kejutan sekiranya skuad kendalian K Devan bermain sambil lewa. “Pasukan seperti inilah cukup bahaya kerana mereka akan beraksi tanpa sebarang tekanan. Bagi mereka, menang mungkin satu bonus atau kejutan tetapi jika kalah sekali pun, ia tidak memberi apa-apa kesan kepada pasukan itu. “Jangan terkejut, mungkin UKM FC akan lebih bersemangat bermain di hadapan ribuan penyokong di Kota Bharu. Kebiasaannya macam itulah, mana-mana pasukan yang bertandang ke sini, semangat mereka kadangkala luar biasa sedikit,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Justeru, Mohd Badhri mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang rendah kemampuan skuad kendalian Sulaiman Husin biarpun hanya membariskan tonggak tempatan tanpa ada pemain bintang dalam pasukan mereka. “Kami harus menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri dan mempamerkan aksi terbaik jika tidak mahu dimalukan pasukan itu. Kami anggap pertemuan menentang UKM FC sebagai satu cabaran untuk buktikan Kelantan masih berbisa selepas bermula hambar dalam saingan liga,” katanya. Dalam masa sama, perancangan tengah berusia 34 tahun itu turut menggesa rakan-rakannya memanfaatkan segala peluang terhidang dengan menjaringkan gol bagi memastikan pasukan tidak berdepan tekanan dalam pertemuan tersebut. “Kalau kita dapat menjaringkan dua gol dalam babak pertama, Insya-ALLAH saya yakin kita boleh mencipta kemenangan besar ke atas UKM FC. Tetapi semua kena bekerja keras dan memberikan komitmen lebih 100 peratus dalam perlawanan malam esok,” katanya.
|