TOKYO 16 Mac – Puluhan pengunjung di sebuah zoo di Jepun digemparkan dengan kejadian malang yang menimpa seekor zirafah apabila kepala haiwan itu tersangkut pada dahan pokok palsu yang diletakkan di dalam kandangnya, baru-baru ini.
Menurut portal Mail Online, berdasarkan rakaman video yang disiarkan stesen rangkaian berita tempatan, ANN News, kepala zirafah tersebut tersangkut antara dua dahan pokok palsu itu, menyebabkan penjaga zoo bergegas untuk menyelamatkan haiwan berleher panjang tersebut.
Malah lebih mencemaskan, pelbagai kaedah terpaksa digunakan bagi mengeluarkan kepala zirafah itu untuk mengelakkan berlakunya kecederaan. Pada awalnya, penjaga zoo menggunakan tangga dan menolak kepala zirafah itu untuk membebaskannya, tetapi gagal.
Kemudian lebih ramai penjaga zoo dikerah ke lokasi kejadian untuk meleraikan pokok palsu terbabit sehingga menyebabkan zirafah itu berasa panik dan menggelupur. Sejurus dilepaskan, zirafah itu seolah-olah ‘gembira’ apabila mengelilingi kandangnya, sekali gus menghiburkan kumpulan pengunjung yang menonton aksi menyelamatkan haiwan terbabit.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tempoh zirafah berkenaan tersangkut pada dahan pokok itu dan lokasi kejadian tersebut berlaku.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/ ... thash.BPSGnKlE.dpuf
|