LONDON 7 April – Gelagat seorang kanak-kanak perempuan Britain memeluk seekor ular sawa peliharaan keluarganya yang berukuran 2.4 meter panjang tanpa me­nunjukkan sedikit pun perasaan takut berjaya dirakam, kelmarin.
Imej video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan leka bermain dengan seekor ular sawa sepanjang 2.4 meter. AGENSI
Mail Online melaporkan, aksi berani kanak-kanak perempuan yang baru berusia tiga tahun itu kemudian dimuat naik bapanya, Ed Taoka ke saluran laman perkongsian vi­deo YouTube miliknya.
Klip berdurasi 22 saat itu me­rakamkan kanak-kanak perempuan tersebut yang tidak dinamakan sedang asyik bermain dengan seekor kuda mainannya sambil meletakkan permainan tersebut pada badan reptilia berkenaan yang berada di hadapannya.
Kemudian, kanak-kanak yang memakai baju berwarna merah jambu itu tanpa sedikit pun pe­rasaan cemas, memeluk ular sawa berkenaan yang pada bila-bila masa boleh melilitnya, seolah-olah reptilia tersebut sama seperti anjing peliharaan.
Difahamkan, menerusi klip video lain yang terdapat dalam saluran YouTube Taoka, ular sawa itu mula dipelihara keluarga berkenaan sejak dari kecil.
Namun, ular sawa itu masih boleh menyerang mangsa dan mampu mengakibatkan kematian khasnya kepada manusia.
Pada 2011, seekor ular sawa peliharaan seorang wanita di Florida, Amerika Syarikat (AS) membelit sehingga mati dua orang anaknya yang baru berusia dua tahun
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/ ... thash.jmOUkCJU.dpuf
|