Insiden melibatkan 56 kenderaan itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh beberapa kilometer. – AGENSI
BEIJING 5 April - Gara-gara tayar sebuah lori pecah di lebuh raya, kira-kira 56 buah kenderaan terlibat dalam kemalangan besar di timur China, baru-baru ini mengakibatkan dua orang terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera.
Kejadian itu yang berlaku di Changzhou dekat wilayah Jiangsu pada 1 April lalu sempat dirakamkan oleh saksi di tempat kejadian, memperlihatkan detik-detik cemas apabila pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan 21 mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan terlibat.
Menurut portal Mail Online, Jabatan Bomba dan Polis Changzhou mengerahkan sebanyak sembilan jentera bomba dan 44 anggota ke lokasi insiden selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang melaporkan kejadian itu.
Berdasarkan rakaman video berkenaan, cuaca buruk diiringi angin kuat dan hujan lebat turut menjadi punca kemalangan besar itu apabila penglihatan pemandu terbatas.
Antara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut ialah beberapa buah bas, lori dan berpuluh-puluh buah kereta.
Beberapa buah kren turut digunakan untuk mengangkat kenderaan yang bertindan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Akibat kemalangan itu, lebuh raya tersebut mengalami kesesakan teruk sejauh beberapa kilometer.