ISLAMABAD 10 Mei – Anak lelaki kepada bekas Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani yang diculik oleh kumpulan militan Taliban tiga tahun lalu akhirnya berjaya diselamatkan di Afghanis­tan hari ini.
Ali Haider Gilani
Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan memaklumkan, Ali Haider Gilani di­selamatkan hasil operasi ketenteraan membabitkan pasukan keselamatan AS dan Afghanistan di wilayah Ghazni.
Tambah kenyataan itu, segala persiapan untuk membawa pulang Ali Haider telah dilakukan termasuklah melakukan pe­me­riksaan kesihatan terhadapnya.
“Penasihat Keselamatan Kebangsaan Afghanistan, Hanif At­mar juga telah menghubungi penasihat Perdana Menteri, Sartaj Aziz, memaklumkan bahawa Ali Haider telah diselamatkan,” jelas kenyataan sama.
Duta Afghanistan ke Pakistan, Omar Zakhilwal mengesahkan perkara berkenaan di Facebook dengan menambah pemuda itu dikawal 30 anggota militan ketika diselamatkan.
Sementara itu, Yousuf Raza yang menghadiri satu perarakan pilihan raya di Kashmir, Pakistan hari ini dilihat tersenyum sejurus menerima berita gembira tentang pembebasan anaknya.
“Hari ini sangat istimewa untuk saya. Anak saya akan pulang,” katanya kepada para penyokong. Ali Haider diculik daripada rumahnya di Multan, timur Pakistan oleh kumpulan militan itu pada 9 Mei 2013, dua hari sebelum pilihan raya umum Pakistan.
Ketika kejadian, seorang lelaki bersenjata menaiki motosikal melepaskan tembakan sebelum menculik Ali Haider dengan menggunakan sebuah kereta hitam berjenama Honda di pinggir bandar Multan di wilayah Punjab, Pakistan.
Seorang setiausaha dan pengawal peribadi Ali Haider maut, manakala empat lagi cedera ketika kejadian itu. Pada Mei tahun lalu, Ali Hai­der berjaya menelefon bapanya untuk memberitahu dia berada dalam keadaan yang selamat. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/ ... thash.MS5Zeuwa.dpuf
|