Warga asing meninggalkan orang tersayang untuk berhijrah ke Malaysia. Walaupun memperoleh gaji yang rendah, mereka bersyukur kerana peluang mendapatkan rezeki di negara ini jauh lebih baik berbanding negara mereka. Tetapi malangnya, ramai orang Malaysia sendiri yang kurang sedar hakikat ini dan tidak menceburkan diri dalam bidang yang paling banyak memberi rezeki, iaitu perniagaan. Tinggal keluarga demi sesuap nasi Bagi Rozilah Osman, 56, yang sebelum ini merupakan warga Singapura, dia tekad meninggalkan ‘negara dilanggar todak’ itu kerana kecintaannya kepada bidang kecantikan yang meluap-luap. Padanya, Malaysia dianggap lubuk rezeki kerana bidang perniagaan tersebut masih baharu di negara ini pada masa itu. Bermodalkan RM4,000, Rozilah menggunakan lesen perniagaan di atas nama sepupunya untuk memulakan perniagaan kecantikan pada 1983 di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru. “Saya tidak boleh berniaga di sini kerana kehadiran saya sebagai lawatan sosial sahaja pada waktu itu. Alhamdulillah, sepupu saya banyak membantu. “Bukannya mudah warga asing seperti saya untuk berniaga di sini. Stigma masyarakat yang menganggap ‘kenapa orang luar berniaga di negara ini’ hampir melemahkan semangat saya. “Walaupun pedih, saya tetap tekad untuk mencari rezeki di bumi bertuah ini,” katanya. Rozilah berkata, perniagaan kecantikannya mendapat sambutan menyebabkan dia mula membuka kelas aerobik pula untuk membantu mereka yang mengalami masalah berat badan. “Saya berulang-alik dari Singapura ke Johor. Kadang-kala saya bermalam di rumah saudara-mara kerana terlalu penat selepas seharian bekerja,” katanya yang berkahwin pada 1984 dengan penduduk tempatan, Samad Dogah. Bagaimanapun katanya, kelas aerobik yang dianjurkan tidak mendapat sambutan pada sekitar 1980-an di Malaysia. Rozilah tidak berputus asa, sebaliknya membuka kelas tuisyen mengajar Bahasa Inggeris bagi pelajar sekolah kebangsaan dan menengah untuk penduduk setempat. “Saya perlu mencari alternatif lain untuk menambahkan pendapatan keluarga. “Selepas setahun berada di sini, saya berkahwin dengan rakyat tempatan dan ahli keluarga semakin bertambah,” katanya. Ibu kepada tiga anak tersebut berkata, dia juga bekerja separuh masa dengan agensi pelancongan untuk membawa jemaah haji dan umrah ke Makkah. “Saya membantu arwah ayah, Osman Ariffin yang juga membawa jemaah haji dan umrah pada awal 1990-an. Alhamdulillah, saya mampu melakukan tiga kerja dalam satu masa. “Alhamdulillah pendapatan saya pada ketika itu mencecah RM2,000 sebulan. Sejumlah daripada pendapatan tersebut saya simpan kerana akan dijadikan modal berniaga,” katanya. Rozilah berkata, pada bulan puasa, dia akan berniaga kuih di Kampung Melayu Majidee dan Best World (yang kini dikenali sebagai Danga City Mall). Menurutnya, dia bersyukur kerana diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia pada 1998. “Alhamdulillah, menjadi warganegara Malaysia ialah anugerah ALLAH dan ia membahagiakan saya. Ini ialah peluang semakin luas untuk saya berniaga di sini,” katanya. Tambahnya, pada 2010, dia berjaya membuka syarikat pelancongannya sendiri dikenali sebagai Suhaa Travel and Tours Sdn Bhd yang terletak di Kampung Melayu Majidee. “Saya bersyukur, Suhaa ialah hadiah keperitan yang saya alami sebelum ini dan rezeki saya di bumi bertuah ini. Terlalu banyak peluang yang ada di Malaysia, alah bisa tegal biasa untuk menghadapi segala kesulitan sebagai bukan rakyat tempatan sebelum ini,” katanya. Rozilah berkata, sebagai rakyat Malaysia kini, dia bersyukur kerana berada di lubuk rezeki. “Saya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan rakyat di negara ini kerana memberikan peluang kepada saya. Saya tidak mampu membalas kebaikan yang diberikan selama ini dan hanya ALLAH sahaja membalasnya. “Saya hanya mampu mempromosikan Malaysia di mata dunia apabila membawa jemaah Malaysia untuk menunaikan umrah empat kali setahun dan haji di Makkah. Saya juga membawa pelancong luar ke beberapa destinasi menarik di Malaysia antaranya Kota Kinabalu; Sabah, Pulau Langkawi; Kedah dan negeri-negeri di Pantai Timur Malaysia serta beberapa negara Asia,” katanya. Rozilah berkata, dia bersyukur berada di bumi Malaysia kerana pelbagai kemudahan disediakan untuk kebajikan rakyat di negara ini. “Saya susah ketika berada di Singapura kerana untuk menyambung pelajaran saya memerlukan wang yang banyak dan harga barang di sana mahal berbanding di negara ini. Kebebasan untuk mencari rezeki ialah kelebihan di Malaysia. “Banyak peluang pekerjaan di negara ini yang perlu direbut untuk meneruskan kehidupan. Terima kasih Malaysia,” katanya. Pengelap perabot jadi usahawan Seorang lagi peniaga yang berasal dari Bangladesh, Md Nasir Uddin berkata, Malaysia mempunyai segala-galanya iaitu sebagai negara Islam, aman dan ekonomi yang stabil. Md Nasir yang kini memegang jawatan Pengarah Urusan Sun Moon Galaxy (M) Sdn Bhd berkata, dia datang ke Malaysia pada 2006 untuk mencari rezeki walaupun tidak mempunyai kelulusan akademik yang baik. Dia menggunakan pas pelancong untuk melihat sendiri keadaan Malaysia dengan menumpang rumah kawannya, Imran di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. “Saya ambil keputusan untuk bekerja apa sahaja di sini walaupun saya tidak tahu nasib saya. Biar ALLAH menentukan. “Saya juga mahu sambung belajar di sini, saya memohon pas pelajar, Alhamdulillah, saya diterima belajar di sebuah kolej di Selangor,” katanya. Md Nasir, 32, berkata, melihat keadaannya yang serba kekurangan dan keluarga jauh di Bangladesh, Imran mengajaknya bekerja secara sambilan untuk meneruskan kehidupan dan membiayai pelajarannya. “Saya nekad mahu bekerja bersamanya sebagai pengelap perabot dan menjaga stor di kedai perabot yang terletak di Puchong, Selangor. “Alhamdulillah, walaupun saya hanya pekerja sambilan iaitu tiga hari seminggu, saya dapat gaji RM800 sebulan,” katanya. Md Nasir berkata, ketika menjadi pengelap perabot dan penjaga stor, dia belajar ilmu perniagaan. Selepas lapan bulan bekerja di bahagian tersebut, dia dipindahkan ke bahagian jualan. “Walaupun hanya bergaji RM800, saya tetap hantar duit ke kampung halaman. Selebihnya saya menyimpan walaupun sedikit. Biarlah saya susah di sini, saya mahu berdikari. “Pada 2008, saya dinaikkan gaji menjadi RM1,800 dan mendapat komisen berdasarkan jumlah jualan. Alhamdulillah, saya habis belajar pada 2010 dan dinaikkan pangkat untuk menguruskan salah sebuah cawangan kedai perabot milik majikan,” katanya. Menurutnya, dari situlah dia menyimpan hasrat untuk membuka kedai perabot sendiri tetapi dipendamkan kerana ia memerlukan modal yang besar iaitu RM200,000. “Saya menyimpan duit selama dua tahun setengah untuk merealisasikan hasrat membuka kedai perabot sendiri. Pada Ogos 2010, saya letak jawatan dan kembali ke Bangladesh, sebelum pulang ke Malaysia semula,” katanya. Menurutnya, pada Februari 2011, dia yang pada masa itu baru saja melangsungkan perkahwinan dengan rakyat tempatan iaitu Nurul Aini Md Noh, 32, mula membuka perniagaan secara kecil-kecilan iaitu kedai komputer di Seksyen 17, Shah Alam. Menurutnya, dia hanya menggunakan modal RM40,000. “Selepas lapan bulan saya menyimpan wang daripada perniagaan tersebut, saya membuka kedai perabot di Setia Alam bermodalkan RM200,000. Saya menjual pelbagai jenis perabot seperti katil, almari, meja makan dan sofa. Alhamdulillah, pada 2013, saya membuka cawangan kedai perabot di Bangi. “Kedai di Bangi begitu bermakna kepada saya. Saya membelinya daripada majikan saya sebelum ini dengan harga RM300,000. “Saya bersyukur, rezeki saya di Malaysia dan saya berharap saya akan menjadi rakyat di negara ini kelak,” katanya yang kini mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun. Bukan itu sahaja, pada Februari 2014, Md Nasir membuka dua lagi kedai perabot baharu di Seksyen 15, Shah Alam bagi memenuhi permintaan pelanggannya yang ramai menetap di sekitar Lembah Klang. “Kedai perabot di Shah Alam menjual pelbagai jenis perabot eksklusif. Kebanyakannya diimport dari pelbagai negara antaranya Itali, China dan Indonesia serta Amerika Syarikat,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada lima adik-beradik. Md Nasir berkata, dia tidak akan melupakan permulaan kehadirannya di Malaysia kerana terpaksa mengikat perut untuk menyimpan wang bagi membiayai pengajiannya. “Saya hanya makan biskut dicecah minuman ringan. Alhamdulillah, saya banyak dibantu rakan-rakan dan bos saya pada ketika itu. Walaupun susah dan perit, saya yakin Malaysia ialah negara yang terbaik untuk saya mencari rezeki dan berkeluarga. “Saya melihat Malaysia mempunyai rezeki yang melimpah ruah. Banyak peluang perniagaan di sini. Insya-ALLAH, saya akan membuka syarikat pelancongan untuk membawa jemaah menunaikan umrah pada tahun hadapan,” katanya yang kini mempunyai seramai 22 pekerja. Md Nasir berkata, kejayaannya pada hari ini banyak didorong isteri dan keluarga mentuanya di Muar, Johor dan doa ibu bapanya di Bangladesh. “Saya yakin rezeki ALLAH ada di mana-mana dan Malaysia ialah negara istimewa kepada saya,” katanya. Pembantu kedai runcit jadi bos Warga Indonesia, Rudy Joko, 50, berkata, seingatnya, kegembiraan rakan-rakannya yang membawa pulang wang kerana bekerja di Malaysia membuatkan hatinya meronta-ronta ingin datang ke Malaysia pada awal 1990-an. Rakan-rakannya dilihat mewah, berbaju baharu, berkahwin dan mampu membayar minumannya dan rakan lain. "Saya tekad mahu berhijrah ke Malaysia. Pada mulanya, saya mahu masuk secara haram tetapi apabila memikirkan keselamatan diri, saya lupakan hasrat tersebut. "Pelawaan rakan saya, Jemari untuk bekerja buruh kontrak di Kuala Lumpur dan dia mahu meminjamkan wangnya untuk membuat pasport, dianggap seperti durian runtuh. Saya menerimanya dengan hati terbuka," katanya. Rudy berkata, dua hari selepas kehadirannya di Kuala Lumpur, dia kagum kerana bangunan dan persekitaran yang cantik berbeza dengan kampung halamannya yang hanya dipenuhi kebun-kebun dan sawah padi. "Saya diajak ke Kajang untuk diperkenalkan dengan Abu Bakar Ibrahim, seorang peniaga yang kini merupakan bapa mentua saya. Saya diarahkan tinggal bersama Abu Bakar dan bekerja bersamanya. "Pada mulanya saya membantah kerana takut keseorangan tetapi Abu Bakar meyakinkan saya. "Alhamdulillah, saya mula bekerja bersamanya sebagai pembantu kedai runcit. Rutin saya setiap hari hanya membelah kelapa serta menyiang ikan dan ayam," katanya. Tambahnya, gajinya hanya RM250 tetapi diberikan makanan dan rumah percuma. Gaji tersebut disimpan untuk digunakan apabila kecemasan. "Pada 2001, saya berkahwin dengan isteri saya, Siti Junaidah Abu Bakar dan mengambil alih perniagaan bapa mentua. Malangnya, kesusahan terjadi apabila pembinaan lebuh raya di kawasan kedai kami menyebabkan ia dirobohkan. Saya buntu kerana saya hanya tahu berniaga dan bertani. "Saya mula bercucuk tanam di sekitar kawasan kediaman dan menyara keluarga dengan wang simpanan yang ada. Rumah saya dijadikan kedai runcit sementara kerana pelanggan masih ada," katanya. Menurutnya, pada 2006, dia kehabisan wang dan tidak mampu membeli susu untuk tiga anaknya. "Saya menangis apabila melihat mereka hanya makan nasi bersama telur dadar manakala isteri mengambil alih perniagaan yang tidak mempunyai cukup barang. Saya kemudian menjadi buruh kontrak di Putrajaya," katanya yang kini sudah menjadi penduduk tetap. Rudy berkata, selama dua tahun, setiap gaji bulanan akan disimpan di atas nama isteri dan bonus tidak diusik. "Tahun 2009 memberikan sinar baharu kepada kami sekeluarga apabila wang simpanan itu dijadikan modal dan kami mula berniaga di Shah Alam. "Alhamdulillah, kini saya mampu menyewa beberapa kedai di sekitar Lembah Klang," katanya. Menurutnya, kesusahan dilalui tidak boleh dijadikan alasan kerana rezeki ALLAH luas, dan Malaysia mempunyai pelbagai kemudahan serta bantuan kepada mereka yang ingin berniaga. "Saya yakin dengan rezeki ALLAH dan saya sering mengingatkan pekerja-pekerja saya jangan tinggalkan solat dan amalkan cara hidup Islam jika mahu berjaya. "Saya bertuah berada di Malaysia dan jika di kampung saya, saya ialah jutawan segera," katanya.
|
secretservice posted on 27-5-2014 07:59 AM
tak bayar income tax boleh le sembang kencang.....sampai tutup rezeki locals tu tak zalim ke
leylapple posted on 27-5-2014 09:08 AM
kenapa pendatang lebih berjaya berbanding rakyat tempatan;
1. pendatang lebih kepada survival mod ...
leylapple posted on 27-5-2014 09:08 AM
kenapa pendatang lebih berjaya berbanding rakyat tempatan;
1. pendatang lebih kepada survival mod ...
leylapple posted on 27-5-2014 09:08 AM
kenapa pendatang lebih berjaya berbanding rakyat tempatan;
1. pendatang lebih kepada survival mod ...
lizaliza posted on 27-5-2014 09:37 AM
aku suka yang point ke 4 ni...
memang betul pun nok, buat naya penduduk Malaysia ja, ade ke gaji ...
ADVERTISEMENT