"Alhamdulillah. Saya sihat dan baik-baik sahaja.” Itu jawapan yang diberikan sendiri oleh penyanyi legenda Datuk Khadijah Ibrahim tentang keadaan dirinya ekoran tular berita daripada sebuah portal yang memberitahu dia meninggal dunia, semalam.
Khadijah atau lebih mesra memanggil dirinya ibu Khaty ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia tidak terkejut dengan berita sebegitu (meninggal dunia) kerana sering terjadi. “Mereka (pemberita) tidak fikir kesahihan tentang berita tersebut dan terus menulisnya tanpa usul periksa. Saya rasa kelakar pun ada,” ujarnya.
Ujar penyanyi berusia 62 tahun itu, dia telah mendapat banyak panggilan telefon serta mesej daripada rakan-rakan yang terkejut dengan berita tentang kematian dirinya. “Tak baguslah buat berita sebegitu. Keluarga saya sendiri ada yang terkejut dan menangis-nangis menelefon saya. “Berita sebegitu (kematian) menakutkan mereka. Tak baik sebarkan benda yang tidak betul. Lagi pula berita tentang kematian bukanlah sesuatu yang menggembirakan,” katanya. Pada masa sama, penyanyi yang popular menerusi lagu Ku Gembira Disampingmu itu bersyukur kerana masih ramai lagi insan-insan dan peminat yang masih menyayangi dirinya sebagai seorang penghibur. “Alhamdulillah. Saya bersyukur kerana masih disayangi. Moga-moga berita sebegitu membuatkan lebih ramai orang mendoakan saya supaya panjang umur,” jelasnya. Terdahulu, tular sebuah artikel yang memberitahu bahawa Khadijah telah meninggal dunia sekitar pukul 4.30 petang semalam di Wad Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur kerana masalah komplikasi buah pinggang. -CARI Sumber: Kosmo
|
Sagun36: Yang meningggal tu Datin Khati ...
ADVERTISEMENT